KAJANG – Lumrah orang yang berniaga selalunya mahukan keuntungan, namun tidak buat pendakwah bebas Ustaz Ebit Lew.
Sebaliknya, beliau mahu memastikan orang yang kurang berkemampuan mampu membeli barang keperluan setiap hari.
Itulah sebab utama beliau membuka pasar raya Elewsmart.
Terkenal dengan sifat pemurahnya, Ebit mahu setiap keluarga mampu membeli barangan keperluan setiap hari.
“Orang tanya kenapa nak buka pasar raya, saya cakap niat nak bantu orang lain, memang niat saya begitu.
“Orang biasa fikir berniaga mestilah nak untung, saya punya niat bukan ke situ. Alhamdulillah sebab saya ada perniagaan yang lain tapi saya nampak perniagaan ini yang boleh membantu. Alhamdulillah, Allah beri saya lebih rezeki untuk membantu orang lain.
“Nak letak harga mahal pun untuk orang sederhana dan kurang berkemampuan tidak logik sebenarnya ,”katanya kepada pemberita ketika melawat pasar raya keduanya yang mula beroperasi hari ini di TTDI Grove Kajang hari ini.
Berkongsi kesusahan hidupnya sebelum ini apabila pernah bekerja di stesen minyak, menerima ‘derma’ RM2 daripada orang yang tidak dikenali membuatkan beliau cukup menghargai orang susah dan kurang berkemampuan.
“Sebab masa kerja di stesen minyak tiba-tiba ada orang selit RM2 di poket saya, jadi saya rasa berharga untuk beli sesuatu daripada itu, jadi saya mahu membahagiakan orang,” tambahnya.
Meskipun niat beliau membantu golongan kurang berkemampuan, namun Ebit tidak akan menolak golongan yang lebih mampu untuk turut berbelanja di mana-mana premisnnya kerana niatnya juga adalah untuk membahagiakan ramai orang.
Beliau turut memaklumkan hasratnya untuk membuka 10 lagi cawangan Elewsmart pada Ogos nanti selepas semua 10 yang awal beroperasi pada bulan ini.
Untuk jangka sederhana beliau mahu memiliki 100 buah Elewsmart termasuk di beberapa buah negeri termasuk di Seremban, Melaka dan Johor.
Selain Bandar Baru Bangi dan Kajang, cawangan Elewsmart akan dibuka adalah di di Cyberjaya, Sungai Buloh, Balakong Cheras, Shah Alam, Damansara, Prima Gombak, Gombak Traders dan Subang Perdana.
Setiap cawangan Elewsmart akan menyediakan ‘Food Bank’ khusus orang yang memerlukan dan mereka yang ingin menyumbang.- MalaysiaGazette