Dr. Noor Hisham Abdullah.

KUALA LUMPUR – Negara  merekodkan kes kematian baharu ke-123 hari ini membabitkan rakyat tempatan berusia 72 tahun di Johor selepas lapan bebas kes korban akibat Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, setakat 12 tengahari tadi, sebanyak 15 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan dalam perkembangan baharu jangkitan pandemik itu.

Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia setakat ini sebanyak 8,779 kes manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitannya adalah 103 kes, yang mana mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Beliau turut menjelaskan  terdapat tujuh kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini sekaligus menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya adalah sebanyak 8,553 kes (97.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

“Ingin dimaklumkan daripada 15 kes baharu yang dilaporkan, empat kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan dua orang warga negara Malaysia dan dua lagi bukan warga negara yang dibenarkan masuk ke Malaysia atas urusan kerja (1 kes) dan pasangan kepada rakyat Malaysia (1 kes).

“Pecahan empat kes import tersebut adalah dua kes dari United Kingdom, satu kes dari India dan satu lagi kes dari Libya.

“Daripada 11 kes penularan di dalam negara yang direkodkan hari ini, lapan kes adalah dalam kalangan warga negara Malaysia dan tiga kes merupakan dalam kalangan bukan warga negara Malaysia,” katanya dalam kenyataan perkembangan jangkitan semasa Covid-19 yang dikeluarkan di kementeriannya di Putrajaya petang ini.

Tambah beliau, daripada lapan kes yang dilaporkan itu, lima kes adalah di Sarawak.

Katanya, daripada pecahan lima kes di bumi kenyalang itu, kes pertama melibatkan saringan kontak rapat kepada kes positif Covid-19 (kes ke-8743).

“Kes kedua adalah kes saringan kendiri; satu kes saringan sebelum kembali bekerja dan dua kes saringan rawak di lapangan iaitu di pintu masuk utama negeri Sarawak.

“Di Selangor juga melaporkan satu kes warga negara iaitu kes saringan pembedahan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia dan di Sabah iaitu satu kes saringan prosedur di Hospital Queen Elizabeth 2.

“Di Johor satu kes Brought In Dead (BID) diterima yang juga merupakan pertambahan satu kes kematian iaitu ke-123 yang dilaporkan hari ini, sekaligus menjadikan kumulatif kes 1.40 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” ujar beliau.

Menurut Noor Hisham, kes kematian ke-123 (kes ke-8770) merupakan lelaki warga negara Malaysia berumur 72 tahun yang mempunyai penyakit darah tinggi kronik dan penyakit strok.

Katanya, mangsa berkenaan merupakan penghuni di pusat jagaan warga emas dan mula
mengalami gejala demam dan batuk pada 10 Julai 2020.

“Beliau telah dirujuk ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor pada 17 Julai 2020 dan disahkan meninggal dunia setibanya di wad kecemasan sekitar jam 12.51 malam dan saringan mengesahkan positif Covid-19,” ujarnya.

Menyentuh mengenai perincian melibatkan kes jangkitan dalam negara dalam kalangan tiga kes bukan warga negara pula Noor Hisham berkata, ketiga tiga kes adalah masing-masing di Kuala Lumpur, Selangor dan Sarawak.

Menurut beliau, kes pertama dilaporkan daripada Kluster Restoran Kuala Lumpur, satu kes daripada Kluster Rumah Kongsi Sepang dan satu kes lagi daripada Kluster Jeti Kuching.

Justeru katanya, sehingga kini, hanya dua kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan satu kes memerlukan bantuan pernafasan. – MalaysiaGazette