Tanah mendap berhampiran residensi 16, Jalan Taman U Thant, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Tanah mendap hingga mengakibatkan pokok dan tiang kabel hampir tumbang dikesan berhampiran Residensi 16, Jalan Taman  TU Thant, di sini.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, pihaknya mendapat aduan mengenai kejadian itu pada jam 3.35 petang semalam.

Siasatan dan pemantauan mendapati ada aliran air di kawasan mendapan.

Skuad Penyelamat DBKL telah bertindak menutup jalan kerana khuatir akan membahayakan keselamatan orang awam.

Malah, Air Selangor juga dimaklumkan berhubung kejadian itu untuk tindakan lanjut.

Susulan kejadian itu Jalan Taman U Thant, Taman U Thant ditutup.

DBKL meminta orang ramai tidak melalui kawasan berkenaan dan mematuhi penanda yang telah diletakkan. – MalaysiaGazette