KUALA LUMPUR – Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menafikan dakwaan beliau mengarahkan hakim untuk menangguh prosiding kes mahkamah Datuk Seri Najib Razak pada Khamis lalu untuk membolehkannya hadir ke Dewan Rakyat.

Beliau dengan tegas menyatakan, bahawa keputusan memanggil Ahli Parlimen Pekan untuk menyertai perbahasan adalah atas budi bicara beliau sebagai Yang diPertua.

Selain itu kata beliau, ia adalah bagi memohon pertimbangan hakim untuk bekas perdana menteri itu datang ke Parlimen pada sebelah petang.

“Saya hanya memohon pertimbangan Yang Arif saja,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan langkah beliau yang dikatakan menulis surat kepada Hakim Mahkamah Tinggi memohon pelepasan buat Najib.

Ahli Parlimen (Tanjung Malim-PH) Chang Lih Kang meminta penjelasan daripada Azhar Azizan selepas membaca laporan media berhubung perkara itu.

“Apakah keperluan menulis surat ke mahkamah meminta tangguh prosiding sedangkan gilirannya berbahas boleh ditangguhkan?” katanya.

Menjawab mengenai perkara itu, Azhar berkata, Najib perlu membahaskan usul titah diraja dan gilirannya ketika itu adalah pada sebelah petang.

Pada paginya (Khamis), beliau difahamkan Najib ada meminta penangguhan (kepada mahkamah) untuk hadir ke Parlimen tetapi dinafikan.

“Kita ini ada doktrin agihan kuasa, yang mana kuasa-kuasa Mahkamah, Eksekutif dan Parlimen itu sama. Di United Kingdom, Parlimen adalah Supreme, kuasa paling atas, di sini (Malaysia) semua sama.

“Saya berpendapat bahawa slot YB Pekan ketika itu, jadi saya memohon pertimbangan hakim agar mempertimbangkan permohonan untuk beliau datang ke Parlimen. Itu saja, saya tak perintah (hakim) atau apa-apapun,” tegasnya.

Ketika Chang masih mempersoalkan keperluan menulis surat itu, Azhar dengan tegas menjawab, beliau sekali lagi mengulangi tidak mengarahkan hakim untuk menangguhkan prosiding kes mahkamah Najib pada hari itu. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.