Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said. foto HAZROL ZAINAL, 20 NOVEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Satu kajian sedang dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memasukkan jenayah penipuan dalam talian atau siber sebagai tumpuan khusus, selaras dengan usaha mengekang jenayah itu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata, kategori jenayah itu ketika ini belum lagi dimasukkan ke dalam jenayah indeks PDRM.

“PDRM sedang mengkaji untuk memasukkan jenayah komersial ini menjadi tumpuan yang khusus bagi kita menangani jenayah online.

“Kita juga akan mempertingkatkan peralatan bagi mengesan (penjenayah) supaya dapat dibanteras,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen (Pandan-PH), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang ingin tahu langkah-langkah diambil oleh pihak berkuasa itu bagi membanteras jenayah dalam talian yang semakin berleluasa ketika ini.

Terdahulu, Ismail menjawab soalan lisan Ahli Parlimen (Bukit Bintang-PH) Fong Kui Lun berhubung indeks jenayah di Kuala Lumpur sebelum, semasa dan selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mengulas mengenai perkara itu, beliau memberitahu, pelaksanaan PKP, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan terkini Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) telah mempengaruhi situasi jenayah negara.

Jelasnya, indeks jenayah di Kontinjen Kuala Lumpur bagi tempoh sebelum PKP iaitu mulai 1 Januari hingga 17 Mac 2020 telah mencatatkan sebanyak 2,225 kes, manakala ketika fasa PKP mulai 19 Mac hingga 3 Mei kes jenayah yang dicatatkan hanya sebanyak 546 kes.

“Fasa PKPB mulai 4 Mei sehingga 9 Jun mencatatkan 708 kes dan bagi tempoh PKPP mulai 10 Jun sehingga 30 Jun, kes jenayah indeks mencatatkan sebanyak 488 kes,” ujarnya. – MalaysiaGazette