Nidzam Jamil.

KUALA LUMPUR – Tarikh 26 Ogos depan yang dipilih Malaysian Football League (MFL) bagi menyambung kembali saingan Liga Malaysia yang tertangguh sejak 16 Mac lalu dilihat sebagai sesuatu yang adil serta mencukupi kepada semua pasukan melakukan persiapan.

Ketua jurulatih Felda United, Nidzam Jamil, menganggarkan tempoh persiapan lapan ke sembilan minggu sejak latihan Fasa 1 bermula 15 Jun lalu oleh majoriti pasukan sebagai sesuatu yang cukup bagi memastikan pemain mendapat kecergasan 100 peratus.

Dalam masa sama, beliau optimis semua pasukan akan menyambut baik tarikh ini selain dalam masa sama membantu skuad kebangsaan.

“Bagi saya tarikh ini adalah adil kepada semua pasukan kerana masa yang diberikan sejak latihan fasa 1 amat mencukupi kepada semua pasukan bagi pastikan semua pemain bersedia.

“Tarikh ini tidak terlalu awal dan tidak terlalu lewat selain kebenaran latihan kontak sejak 15 Julai lalu memudahkan perancangan jurulatih.

“Malah melalui kebenaran perlawanan persahabatan yang akan turut dibenarkan tidak lama lagi, saya yakin perkara ini tidak jadi masalah besar dan semua pasukan mampu berada di tahap terbaik pada 26 Ogos.

“Saya juga berasakan situasi ini juga membantu pasukan kebangsaan terutama bagi memastikan pemain-pemain sudah berada di tahap terbaik dengan hadapi aksi kompetitif sebelum ke peringkat antarabangsa,” katanya yang juga bekas pemain.

Pada Jumaat, Malaysian Football League (MFL) mengumumkan Liga Malaysia 2020 kembali bersambung pada 26 Ogos depan selepas ditangguhkan sejak 16 Mac lalu disebabkan pandemik COVID-19.

Keputusan menerusi persetujuan Ahli Lembaga Pengarah MFL itu dicapai selepas menilai banyak faktor termasuk tempoh persiapan pasukan-pasukan bertanding dalam memastikan kualiti Liga Malaysia lebih kompetitif dan berkualiti.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, badan pentadbir liga tempatan itu percaya tarikh baharu saingan Liga Malaysia tersebut adalah yang terbaik buat kesemua pasukan selepas sesi latihan Fasa 2 telah dibenarkan oleh pihak kerajaan bermula 15 Julai lalu.

Sementara itu, pengendali Sarawak United, E. Elavarasan tetap mengingatkan kepada anak buahnya agar sentiasa berwaspada dan mengikuti SOP yang telah ditetapkan walaupun saingan Liga Malaysia sudah boleh bermula pada 26 Ogos depan.

Ini bagi memastikan kelancaran Liga Malaysia agar tiada sebarang risiko yang boleh membahayakan sesiapa sahaja termasuklah menjaga kebersihan dan kesihatan diri dengan lebih rapi selepas ini.

Apa yang penting, beliau tidak mahu rasa teruja yang terlalu tinggi untuk memulakan perlawanan menyebabkan pasukan lupa untuk menjaga kesihatan tidak kira baik di dalam atau luar padang.

“Pertama sekali, memang saya gembira kerana akhirnya penantian kita semua berakhir untuk tengok saingan kembali bermula.

“Cuma, keutamaan tetap kepada aspek penjagaan diri dan perlulah mengikuti segala SOP dengan baik selepas ini kerana kita kena ingat, Covid-19 masih lagi belum berakhir sepenuhnya.

“Sekarang ini, memang saya ubah corak latihan yang diperlukan pemain kerana selama ini kita berlatih pun dengan berhati-hati tanpa sentuhan, dan yang penting adalah misi untuk kita cuba layak beraksi dalam Piala Malaysia musim ini”, jelasnya. – MalaysiaGazette