Salmah Othman

BANGI – Tarikh 21 Julai terpahat sejarah kepada 300 peniaga Bazar Malam Seksyen 9 di sini diberi kebenaran berniaga semula selepas enam bulan tidak dibenarkan dan lesen mereka hampir tamat pada 31 Julai ini.

Bagaimanapun, setelah isu mereka didedahkan Malaysia Gazette, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) membenarkan operasi perniagaan dibuka di tapak berkenaan dan dilanjutkan lesen sehingga hujung Julai ini.

Wakil peniaga, Salmah Othman mengucapkan syukur kepada pihak yang membantu mereka mengetengahkan isu berkenaan yang menunjukkan keprihatinan terhadap rakyat bawahan B40, ibu tunggal dan semua yang terjejas akibat kemelesetan ekonomi negara ini.

“Kami juga berterima kasih kepada MPKj kerana mengambil tindakan segera bagaimanapun kami amat berharap MPKj dan PKNS dapat melanjutkan lesen perniagaan sekurang-kurangnya lima tahun untuk pulangan modal berniaga.

“Kami berhabisan hampir RM2 juta untuk menukarkan tapak ini daripada hutan kepada tapak niaga.

“Untuk dapatkan kembali modal yang telah dikeluarkan, diperlukan kira-kira RM56,000 sebulan selama tiga tahun dan jika lima tahun tahun diperlukan RM34,000 sebulan.

“Itu baru dapat kembali kos yang telah dikeluarkan, tidak ada satu sen pun keuntungan lagi.

“Sepatutnya semua kos dan penyediaan dan infrastruktur itu disediakan oleh PI Brilliant Berhad atau dulunya dikenali PKNS Infra syarikat kontraktor yang menyediakan khidmat infrastruktur bagi pihak PKNS.

“10 hari berniaga tidak cukup untuk meneruskan kelangsungan hidup,” katanya kepada wartawan.

Tambah Salmah, pihaknya berharap keprihatinan Sultan Selangor untuk meneliti isu ini membabitkan nasib rakyat tanpa pihak media yang mengetengahkannya suara kami langsung tidak didengar.

Malaysia Gazette menerusi beberapa siri laporan beberapa hari lalu mengetengahkan nasib 300 peniaga Bazar Malam Seksyen 9, BangiĀ  yang masih memiliki lesen sah tertekan akibat tidak dibenarkan berniaga di tapak berkenaan dengan pelbagai alasan.

Kebimbangan mereka semakin memuncak dengan keadaan tempoh sah lesen yang akan tamat hujung bulan ini, hanya dibenarkan berniaga tiga hari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasa 18 Mac lalu, yang menyebabkan mereka hilang sumber rezeki selama tiga bulan.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Peniaga akhirnya dibenarkan berniaga tapi laluan pula ditutup