Juara Pertandingan FameLab Malaysia 2020, Atteleth Don Peris.

KUALA LUMPUR – Atteleth Don Peris, 28, dinobatkan sebagai juara Pertandingan Akhir FameLab Malaysia Kebangsaan 2020 anjuran Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia untuk Teknologi Tinggi (MIGHT) dan British Council dengan menewaskan 11 komunikator sains daripada  seluruh negara.

Atteleth memilih Selamatkan Kediaman Kita Dengan Menyelamatkan Hutan Bakau yang menjadi pilihannya kerana  sinonim dengan ijazahnya dalam bidang Sains Marin dan sarjana dalam Ilmu Kaji Samudera daripada Universiti Malaysia Trengganu (UMT).

Menyifatkan kemenangan tersebut tepat pada masanya kerana ia percubaan kali kedua dalam pertandingan berprestij itu sangat signifikan dengan wawasan 2020 yang menjadi impian kebanyakan rakyat di negara ini.

“Saya pernah menyertai FameLab pada tahun 2017 dan pengalaman itu banyak membantu untuk muncul juara hari ini. Saya yakin bila giliran akan tiba untuk mewakili Malaysia dan akan memberikan yang terbaik nanti,” ujarnya yang berasal dari Johor.

“Pemuliharaan dan pemeliharaan hutan bakau wajar diuruskan secara sistematik dan terkawal.

“Kebanyakan kawasan penempatan di persisir pantai terletak di belakang yang menghadap laut dan kewujudan hutan bakau telah membantu mengurangkan kesan hakisan akibat ombak besar dan ancaman tsunami. Ini bermakna pemeliharaan hutan bakau boleh menyelamatkan nyawa manusia,” ujar anak campuran Sabah dan Sri Lanka itu.

Para pemenang Pertandingan FameLab Malaysia 2020 bergambar bersama tetamu kehormat, Datuk Dr. Mohd Yusoff Sulaiman (dari kiri), Tan Sri Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali, Charles Hay, Sarah Deverall dan Dr. Abhi Veerakumasivam.

Pertandingan Akhir FameLab Malaysia Kebangsaan 2020 yang berlangsung baru-baru ini disesuaikan dengan situasi pandemik Covid-19 yang mensyaratkan penganjur mematuhi Prosedur Operasi Standard.

Hanya para  peserta, juri dan jemputan khas sahaja dibenarkan menghadirinya  dan disiarkan secara langsung melalui YouTube FameLab Malaysia.

Pertandingan  telah dihadiri oleh Pengarah Bahagian Mahasiswa Holistik, Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, Dr. Zaid Omar, Pengerusi Bersama (Industri) MIGHT, Tan Sri Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MIGHT, Datuk Dr. Mohd Yusoff Sulaiman, Pesuruhjaya Tinggi Britain di Malaysia, Charles Hay dan Pengarah British Council Malaysia, Sarah Deverall.

Tidak ketinggalan Pengarah Urusan One Team Networks Sdn Bhd, Lim CHee Hwa, Juara  antarabangsa FameLab 2016, Prof. Dr. Abhi Veerakumarasivam dan Juara antarabangsa Famelab 2018, Dr. Siti Khayriyah Mohd Hanafiah.

Sementara itu, Atteleth yang mewakili FameLab dari Johor akan mewakili Malaysia ke Pertandingan Famelab Antarabangsa akan diadakan di United Kingdom semasa Cheltenham Literature Festival pada tarikh yang akan ditentukan nanti.

Malaysia mula mengambil bahagian dalam FameLab Antarabangsa sejak 2015.

Juara pertandingan menerima hadiah wang tunai RM3,000,  memenangi perjalanan ke United Kingdom  yang ditaja oleh MIGHT,  hadiah sumbangan daripada One Team Networks dan British Council bernilai RM11,500, EURAXESS ASEAN 2020 bernilai EUR600 yang menawarkan peluang unik untuk mengunjungi makmal penyelidikan atau universiti di mana sahaja di United Kingdom atau 27 negara anggota Kesatuan Eropah; dan lawatan ke Cardiff dan Eureka Robotics Lab yang ditaja oleh Cardiff Metropolitan University bernilai RM5,385.

Tempat kedua dimenangi oleh Noor Adila Mohamad daripada  Pusat Pengajian Sains Biologi, Universiti Sains Malaysia (USM) dan tempat ke tiga oleh Dr. Tan Choo Hock daripada Fakuliti Perubatan , Universiti Malaya.

Juara Pertandingan FameLab Malaysia 2020, Atteleth Don Peris bergambar bersama pemenang tempat ke dua, Noor Adila Mohamad dan pemenang tempat ke tiga, Dr. Tan Choo Hock.

Sementara itu pelajar tahun akhir Bio Perubatan Sains daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) , Chan Suat Ming muncul sebagai pilihan penonton.

Persembahan diadili berdasarkan tiga kriteria utama iaitu  kandungan, kejelasan dan karisma.

Panel hakim terdiri daripada ahli-ahli akademik dan personaliti media termasuk, Pakar Perunding Kajian Masa Hadapan (futurist), penulis dan pengarang buku bukan fiksyen, serta  pakar komunikasi strategik, Dr. Liz Alexander,  Pengarah Eksekutif Pusat Penerangan Bioteknologi Malaysia, Dr. Mahaletchumy Arujanan dan Timbalan Ketua Pengarang  Astro Awani, Kamarul Bahrin Haron.

Sementara itu, Sarah berkata, pihaknya sentiasa menyokong usaha FameLab dan para penyelidik menggunakan kemahiran mereka dalam merapatkan jurang antara sains dan masyarakat di samping  meningkatkan persamaan dan kepelbagaian dalam sains .

“Kerja kami mewujudkan hubungan baru, membina masyarakat inklusif, memperkuat kapasiti, berkolaborasi dengan pusat dan agensi  penyelidikan antarabangsa bagi  mewujudkan persekitaran yang menyokong untuk pengembangan sains, terjemahan dan inovasi.

“Kami berbangga dengan bakat Malaysia yang dipamerkan tahun ini, berdasarkan standard yang sangat baik dan  menobatkan Atteleth Don Peris  sebagai Juara FameLab Malaysia 2020,” katanya. – MalaysiaGazette