KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan tujuh hari bermula 19 November untuk perbicaraan kes bunuh seorang ahli perniagaan yang mayatnya ditinggalkan di perkarangan lobi sebuah hospital di Jalan Ampang, awal tahun lepas.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Azhar Abdul Hamid menetapkan tarikh itu semasa prosiding pengurusan kes hari ini.
Tertuduh, Tariq Hussin Akhtar Husin, 37, dengan seorang lagi yang masih bebas didakwa dengan niat bersama telah membunuh Harris Morunting, 42, di sebuah rumah di Jalan Seri Putra 2/5B, Bandar Sri Putra, Hulu Langat, di sini, antara 4.40 petang, 2 Jan dan 11.25 pagi, 3 Jan 2019.
Tariq Hussin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Annur Atiqah Abdul Hadi manakala tertuduh diwakili peguam Zamri Idrus.
Awal tahun lepas, media melaporkan mangsa dipercayai dilarikan beberapa suspek dari rumahnya akibat pertikaian berhubung isu pelaburan mata wang kripto bitcoin dan suspek didakwa menghubungi isteri mangsa sebanyak dua kali pada dua hari berlainan untuk meminta wang tebusan RM600,000 dan wanita itu sempat mendengar suara suaminya menjerit sebelum panggilan diputuskan.
Pihak polis menerima maklumat berhubung mayat mangsa yang ditinggalkan di lobi bahagian kecemasan sebuah hospital swasta di Jalan Ampang pada 3 Januari tahun lepas dan hasil pemeriksaan forensik mendapati mangsa luka pada tubuh dan kepala dipercayai akibat dipukul. – MalaysiaGazette