Mazlan Lazim

KUALA LUMPUR – Dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 20 hingga 35 tahun yang terlibat dalam sembilan kes ragut di sekitar ibu kota dan Selangor berjaya ditumpaskan oleh pasukan polis.

Ketua Polis Kuala Lumpur  Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, tangkapan dilakukan berpandukan maklumat selepas dua suspek lelaki meragut wanita di kawasan Cheras pada 16 Julai yang lalu sehingga mengakibatkan kerugian RM2,098.00.

“Pada 16 Julai 2020, jam lebih kurang 3.30 petang, seorang wanita Cina telah diragut oleh dua orang lelaki yang menaiki motosikal di tepi sebuah jalan di kawasan Cheras, Kuala Lumpur.

“Suspek-suspek tersebut datang dari arah belakang mangsa lantas meragut beg milik mangsa dan terus melarikan diri.

“Dalam kejadian tersebut, suspek telah meragut beg mangsa yang mengandungi sebuah telefon bimbit jenama OPPO A92 dan satu telefon bimbit jenama Huawei Nova 2i,” katanya menerusi kenyataan.

Katanya, tangkapan dibuat di sebuah Program Perumahan Rakyat (PPR) di Kuala Lumpur, polis dalam masa yang sama merampas 50 barang termasuk dua buah tab, 14 telefon bimbit pelbagai jenama, dua kamera, lapan utas jam tangan, dua keping kad ATM, enam utas gelang, tujuh  beg tangan, enam beg sandang, sebuah beg pouch dan dua beg pelbagai jenama.

Menurut Mazlan seorang suspek mempunyai rekod dikehendaki bersabit Seksyen 15(4) Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA), Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Seorang lagi mempunyai satu rekod lampau bekaitan kes di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Manakala suspek yang merupakan wanita 35 tahun pula mempunyai rekod wanted (dikehendaki) di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Hasil soal siasat, suspek pertama mengaku melakukan jenayah ragut bersama rakan-rakan yang masih bebas. Suspek juga mengaku terlibat dalam jenayah ragut iaitu tiga kes di sekitar Kuala Lumpur dan enam kes di Selangor,” beliau berkata.

Kesemua suspek ditahan reman bermula 19 Julai 2020 hingga 21 Julai 2020 untuk siasatan lanjut.

Polis Kuala Lumpur akan terus menggiatkan operasi membanteras jenayah ragut dan samun jalanan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat di bandaraya ini adalah terjamin.-MalaysiaGazette