Tanah mendap berhampiran residensi 16, Jalan Taman U Thant, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR -Kerja baik pulih di dua kawasan tanah mendap di Residensi 16, Jalan Taman U Thant di sini Ahad lepas dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua bulan.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata kerja baik pulih masih dijalankan bersama Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) dan Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM).

“Kos akan ditanggung DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) dan kita masih menilai anggaran kos yang diperlukan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Artikel berkaitan: Ada aliran air di kawasan mendapan Jalan Taman U Thant

Media melaporkan laluan ke Residensi 16, Jalan Taman U Thant ditutup kepada orang awam susulan kejadian jalan mendap dan tembok runtuh yang dilaporkan pada 3.30 petang Ahad lepas, disusuli satu lagi kejadian tanah mendap dipercayai berlaku kira-kira 5 petang dan terletak kurang 30 meter dari lokasi mendapan pertama.

Kedua-dua kejadian itu dipercayai berpunca daripada paip pecah namun siasatan diteruskan bagi mengenal pasti kemungkinan ada punca lain menyebabkan kejadian itu.

Jalan itu ditutup untuk keselamatan dan orang awam dinasihati untuk tidak melalui kawasan berkenaan dan mematuhi penanda diletakkan di situ. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast