Oleh: Mohd Zaini Othman

Industri muzik memainkan peranan penting dalam mencorak hidup para artis, karyawan dan pemuzik kerana inilah yang menjadi sumber pendapatan mereka kerana industri ini adalah kerjaya mereka. Kita kini berada dalam era new media (digital) yang memperlihatkan semakin kurang produk baharu muzik berada di pasaran misalnya album-album lagu baharu, sementelahan pula syarikat rakaman juga sudah tidak lagi berani dan agresif melabur besar untuk menerbitkan album seperti dahulu. Impak dari pandemik Covid-19 juga menambahkan lagi kesuraman industri muzik tempatan dengan penggiat industri menjangkakan penyusutan kutipan royalti sehingga akhir 2021. 

Pengkarya seperti komposer, penulis lirik dan penyanyi merupakan kumpulan yang terkesan secara langsung dengan keadaan semasa ini kerana berlaku pengurangan permintaan yang mendadak kepada industri muzik tanah air. Jika dilihat dari pandangan yang lebih besar, kesuraman industri muzik turut menyuramkan pendapatan negara secara langsung. Atas sebab itu dapat dilihat inisiatif kerajaan menyalurkan kemudahan kewangan berjumlah RM225 juta bagi pelan pemulihan industri kreatif dan seni dalam Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek baru-baru ini adalah bagi mengelakkan industri yang telah sedia ada suram ini menjadi semakin kelam dikemudian hari. 

Tanpa ancaman wabak Covid-19 sekalipun, industri muzik negara sebenarnya sudah lama berawan mendungkankan kesuraman dan inilah kegusaran yang membelenggu penggiat seni. Penulis memberi sedikit contoh semasa, mendengar lagu melalui kaset, cakera padat (CD) mahupun cakera padat video (VCD) mungkin sudah dianggap sesuatu yang rare (janggal) pada generasi kini. Percayalah sedikit masa lagi semua ini akan menjadi barang muzik antik seperti piring hitam yang dialunkan muziknya dari mesin fonograf. Peredaran masa dan kecanggihan teknologi melenyapkan sedikit demi sedikit kaset, CD dan VCD sebagai barang yang akan dibeli oleh orang ramai termasuk diri penulis sendiri apabila ingin mendengar lagu dari penyanyi pujaan mereka. 

Penstriman muzik secara atas talian kini adalah medium baharu untuk pendengar ‘melayan’ pelbagai jenis lagu dari pelbagai genre muzik dari dalam dan luar negara. Perkhidmatan seperti Spotify, Pandora, Google Play Music, Apple Music. Amazon Music dan SoundCloud merupakan antara platform penstriman muzik yang tidak asing lagi kepada masyarakat kerana pelbagai kelebihan yang ditawarkan perkhidmatan ini yang menepati citarasa pendengar yang pelbagai.

Perubahan zaman tidak menjanjikan semua perkara akan turut berubah menjadi lebih baik, masih ada satu masalah yang sama yang masih kekal membelenggu industri muzik tempatan merentas zaman. Cetak rompak, itulah sumpahan yang terus menjadi api dalam sekam yang membunuh industri muzik tanah air. Jika di zaman 80an, 90an dan awal alaf baru dahulu, cetak rompak yang membunuh dan menutup periuk nasi penggiat dan karyawan seni suara dilihat secara nyata melalui cetak rompak dalam bentuk kaset, CD dan VCD yang ‘bersepah’ di pasaran. Kini cetak rompak sudah berevolusi dalam rupa digital pula untuk terus menjerut industri muzik kita bahkan seantero dunia.

Perlu diakui bahawa teknologi internet bukan setakat mewujudkan peluang yang banyak dan pelbagai kepada industri muzik untuk berkembang, tetapi pada masa yang sama turut mendatangkan cabaran dan masalah kepada industri muzik itu juga sendiri. Masih penulis ingat sekitar tahun 2003, kerajaan mengisytiharkan perang besar-besaran kerajaan terhadap cetak rompak. Sarang cetak rompak digempur di seluruh negara oleh pihak berkuasa dan mereka yang terbabit di bawa ke muka pengadilan. Selepas itu, kerajaan mengambil pula langkah mengumumkan penetapan harga siling  bagi penjualan CD dan VCD di pasaran untuk memastikan harga jualan yang lebih kompetetif kepada pengguna. Tetapi ia masih gagal ‘membunuh’ cetak rompak kerana sesuatu yang cetak rompak selalu ‘menang’ sejak dahulu lagi hingga kini dalam menambat hati pembeli ialah harga jualan yang lebih murah dan mempunyai pelbagai variasi untuk dipilih. 

Ditambah pula senario terkini penulis melihat perkhidmatan atas talian yang semakin berkembang pesat membolehkan kegiatan menyalin muzik tanpa kebenaran menjadi semakin rancak dan ini adalah ancaman besar kepada penggiat seni suara tanah air seperti artis, komposer mahupun penulis lirik. Cetak rompak melalui internet menjadi amat mudah dan boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja dan sudah semestinya semua kegiatan yang dilakukan tanpa kebenaran yang sah ini menatijahkan bahawa tiada satu sen pun masuk ke kocek artis atau syarikat rakaman terlibat. Akhirnya industri muzik dan negara terus mengalami kerugian berbilion ringgit akibat musibah tak berpenghujung ini.

Penulis meletakkan keyakinan bahawa industri muzik kita tidak akan mati dibunuh oleh cetak rompak sekiranya karyawan seni kita terus menghasilan lagu-lagu yang menarik, pemain industri radio tempatan dan media massa terus menyokong dengan memainkan pelbagai jenis muzik kepada masyarakat dan penggiat seni muzik juga perlu lebih serius, kreatif dan berani berinovasi dalam bidang ini untuk terus kekal relevan dan istimewa. Kerajaan, agensi berkaitan dan masyarakat juga perlu terus memainkan peranan memerangi cetak rompak.  

Catatan : Penulis adalah Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik USIM serta Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAGMATIS) USIM. Penulisan ini adalah merupakan pandangan peribadi penulis