Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri bersama Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff (kiri) melihat logo Pembayar Zakat (PPZ) pada Majlis Zakat Korporat dan Serahan Sijil Zakat di Hotel Everly, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 21 JULAI 2020.

PUTRAJAYA- Pandemik yang melanda sejak dari awal tahun ini serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac lalu tidak memberi kesan terhadap kutipan zakat oleh Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Shukri Yusoff berkata, bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, agensi itu mengutip zakat sebanyak RM357 juta berbanding RM328.3 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

Angka tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak sembilan peratus.

Bagaimanapun menurut Ahmad Shukri, PPZ-MAIWP masih memantau situasi kerana terdapat kemungkinan impak pandemik Covid-19 masih belum dirasai oleh kebanyakan syarikat dalam tempoh enam bulan pertama 2020.

“Kesan PKP masih belum nampak lagi tetapi kami tetap memantau kerana dibimbangi impak tersebut belum dirasai buat masa sekarang.

“Kami akan terus mengajak syarikat-syarikat untuk melaksanakan kewajipan menunaikan zakat.

“Kutipan zakat juga tidak terjejas dan diharapkan prestasi ini berterusan sehingga bulan Disember supaya kita boleh mengagihkan zakat-zakat ini kepada asnaf,” katanya semasa sidang media selepas majlis penyerahan sijil zakat korporat kepada syarikat-syarikat yang telah membuat pembayaran kepada PPZ-MAIWP.

Majlis disempurnakan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Tambah Ahmad Shukri, PPZ-MAIWP berharap sasaran kutipan zakat sebanyak RM700 juta tahun ini dapat dicapai.

Tahun lepas, PPZ-MAIWP mengutip RM683 juta.

Pada majlis tersebut, sebanyak 11 syarikat korporat telah membuat pembayaran zakat perniagaan berjumlah RM12.99 juta kepada PPZ-MAIWP. – MalaysiaGazette