Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN, 21 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Penghijrahan pendatang, khususnya dari negara tidak maju berupaya menjadi semakin meruncing sekiranya tiada langkah kawalan berkaitan dilaksanakan.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pendatang asing menjadi masalah di seluruh dunia apabila golongan berkenaan berhijrah dan mencari kehidupaan baharu di negara maju.

Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Langkawi menyelar sikap pihak asing yang mudah melemparkan tuduhan ke atas Malaysia, kononnya mengamalkan dasar keras terhadap pendatang.

“Walaupun kita memberi layanan yang baik tetapi ada juga kes yang ternampak seolah-olah kita tidak bertimbang rasa.

“Saya sedar bahawa pendatang asing tanpa izin menimbulkan banyak masalah, terutama ketika wabak Covid-19. Mereka takut memperkenalkan diri kerana akan dihantar balik.

“Tetapi mereka hendaklah dikenal pasti supaya tidak jadi kluster Covid-19. Orang asing mudah tuduh kita kasar terhadap pendatang tetapi Eropah, Amerika Syarikat, India lebih kasar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul titah diraja, di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Mahathir berkata, kerajaan tidak sepatutnya mengenakan tindakan keras ke atas rangkaian berita antarabangsa Al-Jazeera atas laporan berhubung layanan Malaysia ke atas warga asing.

Sebaliknya kata beliau, adalah lebih baik kerajaan membuat penjelasan kepada stesen berkenaan berhubung perkara itu.

Agensi berita antarabangsa itu sebelum ini menyiarkan dokumentari yang menimbulkan kontroversi bertajuk “Locked Up in Malaysia’s Lockdown”.

Rakaman berdurasi 25 minit 50 saat itu mendakwa wujud diskriminasi membabitkan pendatang asing tanpa izin dari segi layanan terhadap mereka ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani wabak Covid-19.

Perkara itu mendapat reaksi Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, yang menyifatkan dakwaan tersebut tidak berasas kerana kerajaan sedaya upaya menyelamatkan negara daripada penularan wabak berkenaan tanpa mengira warganegara ataupun bukan warganegara.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 selepas ada laporan dibuat.

Seksyen 500 Kanun Keseksaan adalah siasatan berkaitan kesalahan fitnah jenayah, manakala Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 adalah kesalahan penggunaan aplikasi untuk membuat hantaran jelik dengan niat menyakitkan hati orang lain. – MalaysiaGazette