BANGI – Kurang 24 jam selepas majlis dialog antara ratusan peniaga pasar malam dan wakil Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) berhubung isu ada lesen tetapi tidak dibenarkan berniaga – akhirnya pihak berkuasa tempatan (PBT) itu mengeluarkan notis membenarkan operasi dijalankan bermula hari ini.
Surat Perakuan Kelulusan/ Kebenaran Beroperasi Bazar Malam di Seksyen 9, Bangi dikeluarkan Jabatan Perlesenan MPKj menyatakan; “Sukacita dimaklumkan tapak tersebut telah mencapai tahap piawaian yang sesuai dan strategi bagi permulaan operasi dengan mengikut SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan yang kekal menjadi rujukan teras bagi tujuan pelaksanaan dan penguatkuasaan berdasarkan kondisi yang dikehendaki oleh MPKj.
Isu teknikal tidak dinyatakan dalam surat itu dan operasi perniagaan dibenarkan sepanjang tempoh PKPP.
Bagaimanapun, tinjauan ke tapak berkenaan hari ini mendapati laluan utama Bazar Malam masih ditutup dengan batu konkrit oleh MPKj sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih tidak dibuang menyebabkan para peniaga terpaksa memanjat batu berkenaan untuk meletakkan barang jualan di lot bazar masing-masing.
Difahamkan laluan berkenaan ditutup kerana pintu masuk ke taman rekreasi milik MPKj berikutan arahan kerajaan negeri sebelum ini bagi semua taman rekreasi ditutup sepanjang PKP dan batu itu diletakkan di laluan berkenaan kerana laluan sama ke taman berkenaan.
Lebih aneh, pintu masuk yang diletakkan batu berkenaan sudah diluluskan MPKj sebelum ini ketika pelan kejuruteraan diserahkan pihak penganjur dan lesen dikeluarkan.
Susulan itu, penganjur tapak terpaksa menggunakan pintu keluar sebagai pintu masuk untuk peniaga dan orang ramai.
Wakil peniaga, Salmah Othman, 55, berkata, sepatutnya MPKj menyediakan laluan masuk untuk orang ramai kerana jalan di bawah PBT berkenaan selain kawasan tepi jalan berhampiran juga mempunyai tempat menunggu bas.
“Peparitan pun bawah MPKj, kumbahan pun bawah MPKj, sampah pun bawah MPKj, sapu jalan pun bawah MPKj juga.
Malaysia Gazette menerusi beberapa siri laporan beberapa hari lalu mengetengahkan nasib 300 peniaga Bazar Malam Seksyen 9, Bangi yang masih memiliki lesen sah tertekan akibat tidak dibenarkan berniaga di tapak berkenaan dengan pelbagai alasan.
Kebimbangan mereka semakin memuncak dengan keadaan tempoh sah lesen yang akan tamat hujung bulan ini, hanya dibenarkan berniaga tiga hari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasa 18 Mac lalu, yang menyebabkan mereka hilang sumber rezeki selama tiga bulan.
Para peniaga turut membangkitkan wujudnya ‘tangan ghaib’ yang cuba mengambil alih tapak itu dikatakan antara punca mereka tidak dibenarkan berniaga.
Menerusi dialog antara peniaga, penganjur dan wakil MPKj pada Ahad lalu, Ahli Majlis MPKj, Fauzi Hasim memaklumkan isu teknikal yang belum selesai antara punca tapak itu tidak dibenarkan beroperasi.
Bagaimanapun menurut pihak penganjur isu teknikal sudah diselesaikan malah serahan awal fail hilang di kaunter MPKj yang menyebabkan mereka terpaksa mengulang semula prosidur teknikal dan membayar lebih RM60,000 untuk beberapa kos dikenakan MPKj.- MalaysiaGazette
MPKj ni ada org kawal ke? muskil la aku