KUALA LUMPUR – UMNO minta Lembaga Kelayakan Profesional Undang-Undang Malaysia (LKPU) mencari jalan penyelesaian segera berhubung masalah yang dihadapi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang belum mendapat pengiktirafan penuh.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tanpa kelayakan penuh itu, graduan undang-undang USIM tidak boleh diterima masuk sebagai peguamcara dan peguambela serta beramal dalam bidang undang-undang di mahkamah Malaysia.
“Demi menjaga nama baik dan reputasi unggul LKPU, saya menyeru penyelesaian segera dibuat mengenai isu ini.
“Saya tahu, proses penawaran program akademik di IPTA dikawal selia dengan ketat oleh Senat Universiti, Lembaga Pengarah Universiti, Kementerian Pengajian Tinggi dan Agensi Kelayakan Malaysia.
“Tetapi, program seperti undang-undang, sebelum dilaksanakan haruslah melalui pelbagai proses kawal selia termasuk penubuhan board of studies yang dianggotai oleh pakar dalam pelbagai bidang kepakaran khusus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad juga musykil dengan kesukaran dihadapi USIM dalam mendapatkan kelayakan penuh daripada LKPU yang dipengerusikan Peguam Negara.
Apatah lagi, setelah pelbagai maklum balas dan pematuhan oleh USIM terhadap pelbagai saranan, syarat dan kriteria tambahan yang dikenakan oleh LKPU, katanya.
“Keadaan ini menyukarkan graduan untuk merancang masa depan terutama sekali bagi mereka yang berhasrat untuk beramal dalam bidang undang-undang.
“Jika semua ini adalah karenah birokrasi, maka segala kesulitan dan kelewatan akibat proses ini adalah penganiayaan terhadap anak-anak bangsa kita dan harus diselesaikan segera.
“Namun, sebaliknya, jika isu ini bukan disebabkan kelewatan birokrasi, pasti akan timbul tanggapan bahawa LKPU seolah mempunyai suatu agenda tersembunyi,” ujarnya.
Mohamad berkata, beliau mempunyai rasa hormat yang sangat tinggi terhadap kumpulan pengamal undang-undang Malaysia dan ramai daripada mereka yang terkemuka dalam bidang undang-undang juga merupakan rakannya.
“Mereka sangat mengutamakan integriti dan kualiti yang impeccable standardnya. Saya pernah menjadi Menteri Mentor kepada USIM semasa memegang jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan.
“Setiap perkembangan universiti tersebut telah saya ikuti dengan teliti dan segala masalahnya adalah dalam keprihatinan kami juga,” katanya.
Bagaimanapun, jelas beliau, yang pasti, mereka tidak boleh memperjudikan masa depan putera puteri terbaik bangsa dengan berlengah dalam ketetapan berkaitan kelayakan graduan berkenaan.
Tegasnya, menangguhkan keputusan tersebut adalah seperti menangguhkan masa depan mereka dan ia sangat merugikan.
“Semoga Peguam Negara dapat memberikan pencerahan segera terhadap masalah ini dan membuat keputusan yang menguntungkan negara,” katanya. – MalaysiaGazette