Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Seramai 40 jemaah tabligh Malaysia yang terkandas di India yang akan pulang ke tanah air hari ini bakal menjalani kuarantin wajib 14 hari di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP), Bangi.

Mereka yang tidak berjaya balik pada 17 Julai lalu akan tiba dengan penerbangan komersial Air India Express

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mengambil kira faktor risiko jangkitan, pusat pemantauan ini akan diselia oleh petugas-petugas kesihatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dikawal oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Oleh itu, lawatan pihak luar termasuk ahli keluarga adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh kuarantin wajib ini.

Menurutnya, sejak 10 Jun sehingga 21 Julai lalu, KKM telah membuat saringan ke atas 22,869 individu di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Daripada jumlah ini, 22,791 individu didapati negatif Covid-19 dan sedang menjalani proses kuarantin wajib di kediaman masing-masing.

Manakala 78 individu lagi didapati positif dan telah dihantar ke hospital untuk rawatan.

Tambah beliau, PDRM juga telah membuat 1,453 pemantauan pematuhan prosedur standard operasi kuarantin rumah.

Semalam, seramai 389 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air melalui KLIA dan klia2 dari Indonesia, Vietnam, Qatar, China, Turki, India, Filipina, Nepal dan Jepun.

Kesemua 389 individu telah diperintah untuk menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka. – MalaysiaGazette