Abdul Rani Kulup

KUALA LUMPUR – Mural gergasi wajah pemimpin negara yang menjadi mangsa vandalisme dengan kata-kata kesat sebenarnya bukan meluahkan perasaan tidak puas hati, sebaliknya mencerminkan sikap iri hati kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Presiden Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah menegaskan, walaupun pelakunya tidak berpuas hati dengan kerajaan hari ini, mereka tidak sepatutnya menghina Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan pemimpin negara.

“Dia bukan masalah tak berpuas hati dengan dengan Kerajaan PN, dia sebenarnya iri hati. Kalau tak puas hati lain, kalau tak puas hati kau tunggu PRU15.

“Ini iri hati, sakit hati, hati busuk, hati kaldu, makan benda-benda haram sebab itu perangai jelik.

“Kalau tak puas hati tunggu lah PRU15, kita lawan, tak tahu lah siapa pilih siapa. Jangan ada sikap dengki, iri hati, busuk hati.

“Buat apa kau conteng gambar, apa kau dapat? Jadi rakyat marah kepada kamu,” katanya kepada MalaysiaGazette di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini.

Terdahulu Abdul Rani bersama 10 NGO lain membuat laporan polis terhadap dua individu disyaki bertanggungjawab menconteng dan merosakkan mural gergasi di Taman Cahaya Alam, Shah Alam, baru-baru ini.

Isnin lalu, dua wanita dipercayai menjadi dalang yang merosakkan mural pemimpin negara di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12, Shah Alam tular di media sosial.

Kelibat dua wanita itu dilihat dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang mula tular sejak tengah hari, pada Isnin.

Rakaman video berdurasi dua minit 20 saat itu memaparkan sebuah kereta diletakkan di sebelah lorong lukisan mural berkenaan sebelum kelibat dua individu itu muncul. – MalaysiaGazette