Penguatkuasa KPDNHEP dari ibu pejabat Putrajaya berjaya merampas sejumlah besar serbuk pencuci pakaian tiruan berjenama berjaya ditumpaskan dalam serbuan di sebuah kediaman di Cheras ibu negara hari ini.-Foto ihsan KPDNHEP

KUALA LUMPUR – Satu sindiket penjualan serbuk pencuci berjenama tiruan menerusi dalam talian media sosial, Facebook, ditumpaskan pihak berkuasa.

Seramai lima Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya telah melakukan operasi untuk membanteras barang-barang tiruan itu di sebuah rumah kediaman di Cheras hari ini.

Pengarah Bahagian Penguatkuasanya, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, operasi berkenaan dijalankan hasil maklumat yang diterima daripada pengadu yang merupakan wakil pemilik cap dagang berdaftar serbuk pencuci itu.

Katanya, modus operandi (MO) peniaga barang tiruan ini ialah dengan mengiklankan produk serbuk pencuci tiruan pada harga yang lebih murah bagi menarik perhatian pembeli.

“Pengadu berjaya mengesan lokasi tempat pengedaran selepas membuat pesanan dalam talian.

“Peniaga barang tiruan tersebut telah membekalkan alamat untuk mengambil barangan yang dipesan (self collection).

“Rentetan dari urus niaga tersebut pengadu telah membuat perbandingan dengan serbuk pencuci TOP yang asli sebelum berjaya mengenal pasti produk yang dibeli adalah tiruan,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Rentetan itu tambah beliau, pengadu telah membuat aduan kepada Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP untuk tindakan selanjutnya.

Menurut Iskandar, pemeriksaan telah dijalankan di sebuah premis kediaman di Cheras itu membawa kepada penemuan sebanyak 651 bungkusan serbuk pencuci.

Justeru katanya, hasil daripada verifikasi awal yang dijalankan oleh wakil pemilik cap dagang berdaftar mendapati serbuk pencuci tersebut disyaki tiruan.

“Perbandingan serbuk pencuci tiruan dan asli mendapati dari segi pembungkusan serbuk pencuci tiruan yang berkualiti rendah dan terdapat kesalahan ejaan pada kotak pembungkusan

“Kesemua barang-barang tiruan tersebut yang dianggarkan berjumlah RM4,882.50 telah dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya.

Iskandar berkata, kes berkenaan disiasat dibawah seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar digunakan dengan salah.

Menurutnya, jika pesalah adalah suatu pertubuhan perbadanan dan disabitkan kesalahannya, boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan
salah cap dagangan berdaftar itu, dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, didenda maksimum RM30,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar.

Sekiranya orang itu bukan suatu pertubuhan perbadanan, katanya, dia akan didenda maksimum RM10,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjarakan maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

“Bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, didenda maksimum RM20,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjarakan maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

“Para peniaga diingatkan agar lebih bertanggungjawab dan menghormati harta intelek orang lain dan memberi amaran kepada mana-mana individu mahupun syarikat supaya tidak melanggar undang-undang, terutama membabitkan penjualan dan pengedaran barangan tiruan dalam talian bagi mengelak dikenakan hukuman berat mengikut undang-undang,’ ujar beliau.

“Orang ramai juga perlu lebih berhati-hati dan bijak memilih barangan berjenama di pasaran agar tidak terpedaya dengan taktik sesetengah peniaga yang tidak beretika dan cuba mengambil keuntungan dengan mudah,” katanya sebarang salahlaku boleh disalurkan melalui hotline 1-800-886-800 atau 03- 8882 6088. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast