Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Rosli Ab Rahman bercakap pada media selepas membuat lawatan ke Pusat Penamaan Calon P.085 Pekan sempena penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-14 di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah, Pekan, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 27 APRIL 2018

KUALA LUMPUR: Sejajar dengan peredaran teknologi automotif dan keperluan jenayah yang mengambil pelbagai dimensi dalam dunia moden, sebanyak 850 unit kenderaan MPV Polis Diraja Malaysia yang telah dimamah usia bakal digantikan dengan aset automobil yang serba canggih.

Bukit Aman membuat keputusan untuk menggantikan kenderaan polis yang sudah berusia itu dengan Honda Civic 1.8 dan Proton X70 tidak lama lagi.

Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Datuk Seri Rosli Ab Rahman berkata, selain penerimaan kenderaan baharu, ada juga yang akan disewa.

Penyelenggaran kenderaan baharu ini dijangka akan menelan kos perbelanjaan sebanyak RM55 juta setahun.

“Kenderaan baharu dari Jepun (Civic 1.8) dan Proton X70 tempatan enjin Turbo bakal menambah ketangkasan dan kelancaran anggota dan pegawai peronda dalam melaksanakan tugas mencegah jenayah serta mengawal keselamatan awam,” katanya di Dewan Theatrette di Bukit Aman tengahari ini.

Tambah beliau, kenderaan baharu Civic dan X70 dijangka diterima secara berfasa hingga akhir 2020 dan setakat ini 425 Honda Civic 1.8 sudah dalam penggunaan oleh pegawai dan anggota.

”Saya percaya anggota kami boleh mengejar pesalah jalan raya dengan mudah dengan kenderaan baharu ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, kata beliau, polis akan memasang kamera litar tertutup lokap-lokap di 684 lokasi tahun ini. – MalaysiaGazette