Datuk Kamarudin Jaffar

KUALA LUMPUR – Kajian mendalam dan komprehensif perlu dilakukan sekiranya mahu Malaysia terlibat dengan perkongsian Kerajaan Terbuka (OGP).

Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, langkah itu perlu bagi memastikan keselamatan negara terjamin.

Menurut beliau, pihaknya perlu merujuk kepada kementerian dan agensi lain yang terbabit untuk mendapatkan pandangan bagi menilai faedah penyertaan dalam inisiatif itu serta implikasi kewangan dan perundangan.

“Sama ada OGP ini mengancam keselamatan pihak lain khususnya Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Pertahanan, ia akan dirujuk supaya kalau kita berhasrat mahu menyertai OGP ini, ia boleh dikawal atau akan terancam.

“Jadi, pertimbangan ini yang memerlukan kerajaan baharu ini merujuk kementerian dan agensi lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen (Jempol-BN) Datuk Salim Sharif yang bertanyakan mengenai tahap kesiapsiagaan kerajaan ke arah kerajaan terbuka seperti yang termaktub di bawah OGP dari segi menjaga keselamatan data sulit yang mampu membawa ancaman kepada negara.

OGP adalah inisiatif membabitkan 75 negara yang memberikan komitmen untuk merealisasikan tadbir urus yang lebih baik, sekaligus memperkasakan rakyat serta membasmi amalan rasuah. – MalaysiaGazette