Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Marican Naina Merican berucap pada Pelancaran Skim Perantisan Nasional di Menara KBS, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 22 JULAI 2020.

PUTRAJAYA – Program Skim Perantis Nasional (SPN) menyediakan 10,000 peluang pengalaman bekerja kepada belia dengan berkonsepkan penempatan dan latihan dengan jaminan pekerjaan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reeza Merican Naina Merican berkata, objektif program itu adalah untuk meningkatkan tahap kebolehpasaran perantis melalui latihan ‘soft-skill’ dan ‘on the job training’.

Pada masa sama jelas beliau, SPN menyediakan sistem kepada belia untuk mendapatkan pekerjaan dan membantu mengurangkan kadar pengangguran di kalangan golongan itu.

“SPN ini merupakan salah satu langkah pantas kerajaan dalam membantu para belia keluar daripada statistik pengangguran yang mencecah 5.3 peratus pada Mei lalu.

“Selain itu, SPN juga merupakan langkah penampan terhadap keresahan belia yang terkesan dan tertekan akibat penularan Covid-19 termasuklah lebih 300,000 graduan yang akan memasuki pasaran buruh menjelang Oktober ini,” katanya.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Marican Naina Merican (kiri) diiringi Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof (tengah) dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M.Saravanan (kanan) menyempurnakan gimik perasmian pada Pelancaran Skim Perantisan Nasional di Menara KBS, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 22 JULAI 2020.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan SPN 2020 di kementeriannya di sini hari.

Majlis pelancaran itu dirasmikan bersama oleh Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.

Reezal menambah, program SPN terbuka untuk disertai oleh belia berumur 35 tahun dan ke bawah sama ada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dan sijil kemahiran, diploma atau ijazah sarjana muda yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia.

Jelas beliau, perantis-perantis yang terpilih dan layak mengikuti program itu akan turut menerima elaun bulanan yang disediakan oleh setiap majikan sehingga RM2,000 sebulan.

“Dalam masa penempatan, perantis akan sentiasa dinilai dan diberikan latihan kemahiran bersesuaian (reskilling, upskilling dan cross-skilling) oleh majikan masing-masing,” katanya.

Sementara itu, program SPN telah menerima sokongan padu daripada barisan Rakan Strategik yang melihat kepentingan strategi belia sebagai pemacu ekonomi negara.

Antara Rakan Strategik tersebut adalah Perbadanan Sumber Manusia Berhad (PSMB), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), InvestKL, Pusat Pembangunan Kemahiran Malaysia (FMSDC) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Melalui penglibatan Rakan Strategik ini, para belia akan diberi peluang penempatan lebih dari 500 buah syarikat 13 syarikat multi nasional.

Golongan belia dialu-alukan menyertai SPN dengan melayari portal sehenti untuk belia, eBelia di pautan http://ebelia.iyres.gov.my.

Kementerian juga membuka peluang kepada lebih banyak majikan menyertai inisiatif ini dalam usaha memperkasa dan mendaya upaya belia di negara ini. – MalaysiaGazette