KUCHING – Empat individu yang didapati positif COVID-19 di Sarawak dari Selasa hingga hari ini, tidak menunjukkan sebarang tanda dan gejala, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) di sini.
JPBN dalam kenyataan memaklumkan kes pertama melibatkan seorang wanita warga tempatan yang merupakan seorang peniaga sayur di Pasar Stutong.
“Wanita itu telah menjalani saringan COVID-19 di klinik kesihatan kerajaan pada 18 Julai dan ujian rt-PCR (Reverse Transcriptase – Polymerase Chain Reaction) beliau didapati positif pada 22 Julai. Kes ini tidak menunjukkan sebarang tanda dan gejala.
JPBN menyatakan kes ketiga pula merupakan seorang lelaki yang mempunyai kontak rapat kes indeks Kluster Syarikat Kejuruteraan.
“Beliau pernah disaring pada 12 Julai tetapi keputusan ujian rT-PCR pertama adalah negatif bagaimanapun ujian saringan kedua pada 21 Julai mendapati beliau positif COVID-19.
“Kes keempat merupakan seorang wanita tempatan yang telah datang menjalani saringan pada 21 Julai di sebuah klinik kesihatan kerajaan dan ujian rT-PCR beliau didapati positif pada 23 Julai, menurut JPBN.
JPBN berkata tujuan sebenar kes keempat itu menjalani saringan masih dalam siasatan lanjut sama ada terdapat kaitan dengan mana-mana kluster atau kes positif COVID-19 yang lain.
Selain itu, satu kluster baharu di Sarawak telah diisytiharkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, iaitu kluster Pesakit Dalam Pengawasan (PUI) Melbourne yang melibatkan seorang pelajar warganegara tempatan yang pulang dari Melbourne, Australia pada 15 Julai lepas.
— BERNAMA