Datuk Dr.Hafsah Hashim

KUALA LUMPUR- Kerajaan diminta supaya mempertimbangkan semula status bagi permohonan Pelepasan Automatik apabila menggubal Akta Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan COVID-19 (Akta COVID-19) untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terpaksa gulung tikar akibat pandemik COVID-19 dalam tempoh satu atau dua tahun.

Penasihat SME Bank Islam, Datuk Dr Hafsah Hashim berkata status dicadangkan itu penting bagi membolehkan syarikat yang bankrap dapat menjalankan perniagaan semula selepas kes mereka kebankrapan diselesaikan pada tempoh yang ditetapkan.

Status pelepasan automatik itu sering digunakan oleh PKS di Jepun dan United Kingdom dan kebiasaannya tempoh yang diberi adalah selama tiga tahun, setelah diisytiharkan muflis.

“Di Malaysia, Seksyen 33A Akta Insolvensi 1967, adalah peruntukan yang boleh diguna pakai bagi membantu bankrap keluar daripada kemuflisan, termasuk melalui pelepasan di bawah sijil Ketua Pengarah Insolvensi untuk kes yang telah ditadbir selama lima tahun atau lebih bagaimanapun ia bukannya pelepasan automatik.

“Kita perlu tahu bagaimana untuk menggunakan status pelepasan automatik tersebut. Justeru, diharapkan kerajaan dapat mempertimbangkan pelepasan automatik bagi PKS selama setahun atau dua tahun dalam Akta COVID-19, ia adalah instrumen terbaik untuk memulihkan perniagaan dalam tempoh yang pantas,” kata Hafsah.

Beliau berkata demikian pada sesi webinar bertajuk ‘SMEs Post-MCO: Surviving The Shifting Landscape’ anjuran Bank Islam.

— BERNAMA