KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan mahkamah yang menolak rayuannya untuk mengetepikan kebenaran diperoleh Peguam Negara bagi memulakan prosiding komital terhadapnya.
Prosiding komital itu dipohon Peguam Negara setelah Lokman didakwa mengugut seorang saksi dalam perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Saksi berkenaan ialah bekas pegawai khas Najib, Amhari Efendi Nazaruddin, saksi utama dalam kes tersebut.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam memberitahu pemberita, Lokman memfailkan permohonan untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 18 Mei lepas namun Mahkamah Persekutuan masih belum menetapkan tarikh untuk perbicaraan.
Mustaffa ditemui selepas pengurusan kes hari ini, di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah yang menetapkan 12 Oktober untuk pengurusan kes lain bagi menetapkan tarikh untuk mendengar prosiding perbicaraan.
Hadir dalam prosiding itu ialah Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Gopal Sri Ram dan peguam, Wan Aizuddin Wan Mohammed yang mewakili Lokman Noor.
Mahkamah Rayuan pada 13 Mei lepas menolak rayuan Lokman dan memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dalam membuat keputusan permohonan kebenaran Peguam Negara itu.
Pada 14 Januari lepas, Hakim Sequerah, menolak permohonan Lokman selepas berpendapat kenyataan Peguam Negara adalah jelas dan mencukupi ketika ia dibawa kepada perhatian responden (Lokman).
Pada 22 Oktober tahun lepas, Hakim Sequerah memberi kebenaran kepada Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas untuk memulakan prosiding komital terhadap Lokman bagi perbuatan menghina mahkamah yang dilakukan dua kali pada 25 September tahun lepas.
Thomas yang dilantik sebagai peguam negara untuk tempoh dua tahun pada 4 Jun, 2018 oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menggantikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang meletak jawatan pada 29 Februari lepas.
Thomas memulakan prosiding komital terhadap Lokman dengan memohon supaya responden dipenjara atau didenda atas perbuatannya.
Menurut Thomas, pada 25 September tahun lepas, Lokman dalam temu bual video telah mengeluarkan perkataan berbaur ancaman atau membawa maksud untuk mengugut Amhari Efendi kerana memberi keterangan dalam perbicaraan kes Najib di Mahkamah Tinggi. -MalaysiaGazette