KUALA LUMPUR- Mahkamah Persekutuan telah menolak permohonan untuk mencabar keputusan menteri atas isu jawatan penyelia penerbangan kru kabin syarikat MAB.

Hakim Datuk P. Nalini, Datuk Zabariah Mohd Yusof and Datuk Rhozariah Bujang telah sebulat suara membuat keputusan dan juga mengarahkan pihak syarikat MAB membayar kos guaman kepada Menteri Sumber Manusia, Ketua Pengarah Jabatan Perhubungan Perusahaan dan Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM).

Semua pihak telah diwakili oleh peguam ketika keputusan dibuat, menurut satu kenyataan Sekretariat NUFAM.

“Keputusan Mahkamah Persekutuan untuk menolak permohonan untuk mencabar keputusan Menteri Sumber Manusia yang pada awalnya telah mengisytiharkan skop pekerjaan penyelia kru kabin di dalam syarikat.

“Pada awalnya juga syarikat MAB telah membuat permohonan semakan hakim di Mahkamah Tinggi dan juga melalui Mahkamah Rayuan tetapi kedua-dua mahkamah tersebut telah menolak rayuan syarikat,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Dengan kekalahan tersebut, pihak MAB pula membawa kes tersebut atas alasan NUFAM telah memohon satu pengiktirafan buat pekerja kru kabin.

Hujahan kepada mahkamah melalui peguam NUFAM telah menyatakan kru kabin syarikat MAB termasuk penyelia penerbangan harus layak menyertai dan mengundi kesatuan kerja mereka.

Syarikat MAB sama sekali tidak boleh menghalang pekerja untuk menyertai badan kesatuan yang dipilih.

Alasan oleh syarikat MAB pula menyatakan penyelia atau IFS kru kabin tidak layak kerana mereka telah diserapkan dan berada dalam kategori “pengurusan dan eksekutif” yang mana pihak MAB gagal untuk membuktikan.

NUFAM yang diwakili oleh peguam Lim Wei Jiet dalam hujan balas pula mengemukakan bukti ke mahkamah menunjukan pekerja ini tidak pernah dibayar gaji pengurusan atau eksekutif malah pekerja ini masih melakukan tugas sebagai anak kapal kabin

Dengan adanya keputusan ini, proses undi sulit buat seluruh 3,000 pekerja anak kapal di MAB akan diteruskan.

“Ini adalah satu kemenangan besar buat kesatuan dan pekerja anak kapal kerana hak mereka untuk memilih dan menyertai badan kesatuan telah dikembalikan,” kata kenyatan itu.

Pekerja itu semua layak dan skop pekerjaan mereka telah pun ditetapkan dibawah undang undang Akta Kerja 1955 dan Akta Perhubungan Perusahaan 1967.

Justeru, semua pekerja akan dapat memilih kesatuan mewakili mereka dalam satu perjanjian kolektif bersama syarikat yang telah lama dinanti nantikan sejak syarikat MAB ditubuhkan pada 2016.

NUFAM amat bersyukur dengan kemenangan dan berharap semua pekerja kru kabin akan turun mengundi pada masa yang akan ditetapkan nanti.

NUFAM berharap MAB juga akur kepada keputusan Mahkamah Persekutuan dan tidak lagi mencabar satu keputusan di bawah undang undang yang sedia ada.

“Semua pekerja di dalam syarikat penerbangan harus diberikan hak untuk mengundi dan menjadi ahli kesatuan. Hak pekerja tidak boleh dinafikan sama sekali.

“Ia juga adalah untuk menjaminkan masa depan pekerja di dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu hari ini.

“Kami juga menyarankan kepada semua pekerja kru kabin ini untuk turun pada hari pengundian tanpa merasa bimbang atau takut kerana kesatuan NUFAM akan pasti membantu mereka untuk mendapatkan hak perlindungan pekerjaan yang terbaik bersama syarikat mereka,” kata Sekretariat NUFAM.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast