Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Johari Alifiah menunjukkan kayu merah atau Red Sandalwood yang berjaya ditumpaskan penyeludupannya pada sidang media di Jabatan Kastam Diraja Malaysia Dengkil, Malaysia. foto HAZROL ZAINAL, 23 JULAI 2020.

DENGKIL – Cubaan satu sindiket menyeludup kayu merah atau Red Sandalwood merentasi sempadan anggaran bernilai RM4.3 juta berjaya dipatahkan penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia, Datuk Johari Alifiah berkata, Unit Siasatan Frod Perdagangan (USFP) Kastam dengan kerjasama Cawangan Narkotik Kastam berjaya mematahkan cubaan penyeludupan kayu merah itu pada 17 Julai lalu.

“Sebuah kontena sepanjang 20 kaki yang mengandungi kayu merah yang terancam itu tiba di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang pada 8 Julai lalu.

“Pemeriksaan lanjut mendapati tiada pengiktirafan borang import dibuat oleh pengimport ke atas dagangan tersebut.

“Pemeriksaan ke atas Dokumen Perkapalan dan Daftar Muatan Kapal menunjukkan dagangan dalam kontena tersebut telah diikrar sebagai karburator atau chamber dan diimport dari salah sebuah negara di Asia Selatan iaitu India dan disyaki negara destinasi langsung.

“Hasil pemeriksaan ke dalam kontena berkenaan menemui 283 batang kayu merah endangered dengan anggaran berat 8,000 kilogram bernilai RM4.6 juta,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Johari Alifiah menunjukkan kayu merah atau Red Sandalwood yang berjaya ditumpaskan penyeludupannya pada sidang media di Jabatan Kastam Diraja Malaysia Dengkil, Malaysia. foto HAZROL ZAINAL, 23 JULAI 2020.

Tambah Johari, dagangan itu merupakan dagangan yang tersenarai dalam Appendix 2 Cities (Konvensyen Dagangan Antarabangsa Flora dan Fauna Terancam) yang mensyaratkan supaya pengeksport perlu memiliki sijil yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa negara pengeksport.

Malah katanya dagangan berkenaan juga tersenarai dalam Jadual Ketiga kepada Perintah Kastam (Larangan mengenai Import) 2017 di mana pengimportannya adalah tertakluk kepada satu permit import yang dikeluarkan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB).

Katanya, kes sedang disiasat di bawah Akta Kastam 1967 kerana disyaki melakukan kesalahan terlibat dalam pengimportan barang larangan di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

Menurut beliau, bagi kesalahan pertama boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barangan atau RM50,000 mengikut mana-mana jumlah yang lebih besar dan tidak lebih dari 20 kali ganda nilaibarang atau RM500,000, atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi kesalahan kedua dan kesalahan seterusnya boleh dikenakan denda minimum RM100,000 mengikut jumlah mana yang lebih besar dan tidak melebihi 40 kali ganda nilai barang atau RM1 juta atau, penjara maksimum tujuh tahun atau kedua-duanya.

“Siasatan ke atas syarikat pengimport sedang dipergiatkan dan menjejaki dalang disebalik sindiket pengimportan haram ini manakala seorang individu telahpun dikenalpasti.

“Siasatan diperincikan juga pihak syarikat atau keseorangan yang terlibat sebagai dalang di sebali tabir aktiviti haram ini dan dalam hal ini satu syarikat berstatus enterprise disyaki terlibat langsung dalam kegiatan ini sedang disiasat lanjut,” ujarnya.

Beliau menggesa orang ramai membantu Kastam memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok dan juga minuman keras serta flora dan fauna yang dilindungi CITES.

“Saya juga mahu orang ramai supaya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti terlarang sebegini yang mana penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil malah ianya juga mendatangkan ancaman keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

“Orang awam boleh bekerjasama menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol Kastam 1800 88 8855 atau pejabat Kastam terdekat di setiap negeri dan identiti pemberi maklumkat akan dirahsiakan,” tegas beliau.-MalaysiaGazette