KUALA LUMPUR – Kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sentiasa memantau bekalan barangan di seluruh negara dari semasa ke semasa sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Bermula 13 Mei lalu sehingga semalam, sebanyak 131,592 premis telah diperiksa oleh anggota penguatkuasa KPDNHEP dan keseluruhannya kerajaan berpuas hati dengan tahap pematuhan pemilik premis.
Jelas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dari jumlah itu, hanya 5,580 premis diberi nasihat, manakala 125,714 premis lagi telah mematuhi prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan.
“Dari pemantuan itu, kita mendapat maklum balas bahawa secara keseluruhan bekalan barangan keperluan adalah mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperolehi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) itu berkata, dalam tempoh PKPP ini, kerajaan menggesa pengusaha dan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan sosial dan kebersihan diri terutama dalam aktiviti jual beli barangan keperluan harian.
Mengenai penangkapan mereka yang ingkar arahan PKP, Ismail Sabri berkata, polis telah menahan seramai 227 individu dalam Task Force Operasi Pematuhan semalam.
Kata beliau, 62 dari mereka telah direman, manakala seorang dijamin.
“Seramai 164 individu lagi dikenakan kompaun. Semua mereka terlibat dalam aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial,” katanya. – MalaysiaGazette