Hamidin Mohd Amin.

KUALA LUMPUR – Industri bola sepak di Asia dijangka pulih secara berperingkat dalam tempoh satu atau dua tahun bergantung kepada kadar negara yang terkesan dengan penularan Covid-19.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata jangkaan pemulihan itu adalah berdasarkan kepada senario terkini menyaksikan rantaian Covid-19 yang masih belum putus sepenuhnya.

“Industri bola sepak di Asia akan berdepan beberapa cabaran utama yang tidak pernah difikirkan sebelum ini terutama dalam menjamin keselamatan dan kesihatan 47 negara Asia demi kelangsungan sukan ini.

Apapun anjakan kehidupan ke arah normal baharu sememangnya perlu kita lalui, mahu atau tidak, demi keselamatan serta kesihatan semua, juga kelangsungan industri bola sepak,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Hamidin menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) secara maya di Wisma FAM.

Menurut Hamidin, mesyuarat berkenaan penting dalam mencapai kata sepakat mengenai hala tuju bola sepak Asia menjelang persiapan menghadapi kelayakan Piala Asia 2023 yang tertangguh akibat Covid-19.

“AFC memberi sokongan penuh kepada ahli gabungan terutama negara-negara yang terjejas teruk dari sudut kewangan menerusi kempen tanggungjawab sosial yang mampu menaikkan semangat negara yang terkesan terutama masyarakat.

“Situasi ini adalah sesuatu di luar jangkaan yang mana semua pihak perlu memikul tanggungjawab bersama serta paling penting muafakat dan saling menyokong antara satu sama lain dalam membendung krisis ini bersama,” katanya.

Hamidin yang juga ahli jawatankuasa eksekutif AFC mengesahkan bahawa Kongres AFC ke-30 ditunda kepada 9 Disember dan akan diadakan secara maya. – MalaysiaGazette