Gambar hiasan

Oleh: Noor Mohamad Shakil Hameed

KEPUTUSAN kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di dalam semua kenderaan
awam dan tempat-tempat awam mulai 1 Ogos ini adalah langkah yang tepat dan
sangat wajar. Hal ini kerana statistik kes baharu Covid-19 di negara kita mula sangat
tidak menentu serta turun naik akibat sikap dan tingkah laku sebahagian anggota
masyarakat yang tidak mahu mematuhi standard prosedur operasi (SOP) yang telah
ditetapkan.

Semua sedia maklum wabak ini belum berakhir dan kita belum boleh isytihar
menang. Langkah kerajaan melonggarkan pelbagai kawalan melalui Perintah
Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) termasuk pembukaan hampir semua sektor
ekonomi, sosial dan pendidikan adalah untuk menyelamatkan ekonomi rakyat dan
negara di samping memberi ruang dan peluang kepada rakyat membuat kawalan
kendiri.

Namun malangnya kita lihat semakin hari semakin ramai yang mula leka dan
lalai sekaligus gagal mematuhi SOP yang telah ditetapkan. Segala nasihat yang telah
diberikan dan diperingatkan selalu oleh pihak berkuasa sudah menjadi umpama
mencurah air ke daun keladi.

Jadi eloklah pihak kerajaan menguatkuasakan peraturan seperti ini agar dapat
mendidik dan “memaksa” rakyat mematuhi SOP pemakaian pelitup muka. Harus
diingat antara dua SOP penting yang boleh membantu memutuskan rantaian
penularan wabak ini ialah, memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan

sosial. Sedihnya pada hari ini kita dapat lihat ramai yang tidak mematuhi kedua-dua
SOP penting ini. Baik di tempat awam yang sesak, dalam pengangkutan awam
mahupun di premis perniagaan termasuk gerai makan, makin ramai yang lalai dan
alpa seolah-olah kita sudah bebas sepenuhnya dari wabak ini. Ini tidak sepatutnya
berlaku, sebaliknya kita perlu membalas kepercayaan kerajaan yang telah
memberikan kelonggaran dengan mengamalkan kawalan kendiri agar sama-sama
dapat membantu memutuskan rantaian penularan wabak.

Jadi kita berharap pihak berkuasa tidak lagi berlembut sebaliknya menguatkuasakan
peraturan yang ada dengan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu
dan pemilik perniagaan yang tidak mematuhi peraturan baharu ini mulai 1 Ogos
nanti. Kita tidak mahu kedegilan segelintir anggota masyarakat menyusahkan semua
pihak sehingga kes baharu terus meningkat. Ambil tindakan tegas sama ada
mengenakan kompaun, dikenakan tindakan mahkamah atau menutup perniagaan
terhadap orang awam dan juga pemilik premis yang didapati tidak ikut peraturan dan
cuai dalam mematuhi SOP yang ditetapkan.

Pada masa yang sama kita juga berharap tidak ada peniaga yang mengambil
kesempatan dengan menaikkan harga jualan pelitup muka selepas ini. Penulis
percaya permintaan terhadap pelitup muka akan melonjak naik selepas ini, jadi
jangan ada yang menangguk di air yang keruh. Harga siling bagi pelitup muka yang
telah diturunkan kepada RM1.20 seunit berkuatkuasa 15 Ogos ini perlu dipatuhi oleh
semua pihak. Ini soal kesihatan dan keselamatan rakyat, jadi janganlah terlalu tamak
dan hanya memikirkan soal keuntungan perniagaan semata-mata. Dalam pada itu
bagi yang kurang berkemampuan untuk membeli selalu atau sanggup menjahit
sendiri, adalah digalakkan gunakan yang dibuat sendiri asalkan memenuhi spesifikasi
yang telah ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Di samping itu, memandangkan umat Islam akan pulang ke kampung untuk
menyambut Hari Raya Aidiladha yang dijadualkan pada 31 Julai ini iaitu sehari
sebelum tarikh wajib memakai pelitup muka, diharap semua akan bertindak proaktif

dengan mematuhi SOP yang telah ditetapkan. Pakailah pelitup muka dan amalkan
penjarakan sosial ketika berada di kampung dan semasa aktiviti ziarah. Jangan
membuka sebarang ruang untuk cetusan kluster Hari Raya Aidiladha. Sayangilah ahli
keluarga di kampung, jangan kita pula menjadi punca mereka dijangkiti wabak ini.

Semoga langkah mewajibkan pemakaian pelitup muka ini dapat membantu
memutuskan rantaian penularan wabak di negara kita di samping terus memberi
kesedaran kepada rakyat bahawa kita perlu bertanggungjawab pada diri sendiri
dengan melakukan kawalan kendiri.

Penulis adalah penganalisis isu-isu semasa

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. dulu janji nak bagi percuma 4 untok satu keluarga bila nak sampai. sekarang nak paksa rakyat pakai pula. kerajaan tipu rakyak. atau agihan bocor ditengah jalan.

Comments are closed.