KUALA LUMPUR – Berikutan penggunaan Bahasa Inggeris (BI) secara tidak terkawal oleh ahli-ahli Parlimen ketika sesi perbahasan di Parlimen – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mengemukakan empat cadangan.
Naib Presiden Putra, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata, cadangan itu dikemukakan parti berkenaan menerusi satu surat bertarikh 23 Julai 2020 kepada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azizan Azhar Harun.
Kata beliau, cadangan pertama ialah mewajibkan semua ahli Parlimen meminta izin Speaker Dewan Rakyat terlebih dahulu sebelum berucap dalam BI dan kedua, Azizan Azhar hendaklah memberikan keizinan selepas menerima permohonan berkenaan.
Cadangan ketiga, katanya, Speaker Dewan Rakyat hendaklah menggunakan kuasa budi bicara ketika membuat keputusan sama ada menerima atau menolak sebarang permintaan untuk menggunakan BI dan direkod dalam hansard Parlimen.
“Sejak beberapa hari ini, tular di media sosial beberapa rakaman perbahasan sidang Dewan Rakyat oleh ahli Parlimen yang secara spesifik berkaitan penggunaan BI yang tidak dikawal.
“Teguran ini telah dibangkitkan Ahli Parlimen Tangga Batu, Rusnah Aluai dan speaker menerima secara positif teguran itu sambil menasihatkan diri beliau sendiri dan ahli-ahli Parlimen agar meminta izin terlebih dahulu sebelum dibenarkan berhujah dalam BI.
“Kita percaya, dengan latar belakang Azizan Azhar dalam bidang perundangan, beliau dapat mengemudi Dewan Rakyat kembali menjadi satu institusi mulia yang dihormati dan disanjung tinggi oleh rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Khairul Azam yang juga seorang peguam berkata, Bahasa Melayu adalah teras dalam Perlembagaan Persekutuan dan telah diangkat martabat sebagai Bahasa Kebangsaan mengikut Perkara 152(1) Perlembagaan.
Menurut beliau, Perkara 152(2) pula menyatakan, selama tempoh 10 tahun selepas hari merdeka sehingga diperuntukan selainnya oleh Parlimen, BI boleh digunakan di kedua-dua majlis Parlimen.
Ini membawa maksud, dalam tempoh 31 Ogos 1957 sehingga 30 Ogos 1967, penggunaan BI adalah dibenarkan di Dewan Rakyat kecuali jika dalam tempoh itu Parlimen membuat peruntukan berbeza berkaitan penggunaan bahasa di Parlimen.
Maka katanya, pada tahun 1963 dan 1967, Parlimen meluluskan Seksyen 2 Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang memperuntukkan Bahasa Kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi.
“Walaupun begitu, Seksyen 5 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 memperuntukkan Yang Dipertua Dewan Rakyat boleh membenarkan mana-mana anggota Dewan Rakyat untuk menggunakan bahasa Inggeris ketika perbahasan.
“Perkara ini turut telah dijadikan sebagai Aturan 8, Peraturan-Peraturan Dewan Rakyat (standing orders) bahawa penggunaan bahasa Inggeris adalah dibenarkan dengan izin Yang Dipertua Dewan.
“Bagaimanapun, Aturan 8 berkenaan boleh diperincikan lagi dengan memasukkan beberapa tatacara penggunaan bahasa Inggeris di Dewan Rakyat,” katanya.
Beliau percaya, Parlimen yang merupakan institusi tertinggi negara, mampu menunjukkan tauladan baik kepada rakyat untuk mematuhi Perlembagaan dan undang-undang selaras dengan prinsip Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang dalam Rukun Negara.
Oleh itu, kata Mohd Khairul Azam, menjadi tanggungjawab Azizan Azhar untuk memikul tanggungjawab besar itu memastikan penggubal undang-undang di Malaysia menunjukkan contoh mematuhi undang-undang. – MalaysiaGazette