Ismail Nasaruddin
Ismail Nasaruddin

KUALA LUMPUR – Pekerja-pekerja kontrak syarikat penerbangan mendakwa telah dipinggirkan daripada skim-skim bantuan kerajaan termasuk Skim Insurans Pekerja (SIP) dan Program Pengekalan Pekerjaan (ERP).

Alasannya golongan pekerja muda ini baharu sahaja berada dalam tempoh kontrak pekerjaan empat hingga lima.

Sedangkan, mereka inilah golongan paling ramai menjadi sasaran syarikat penerbangan untuk kontrak mereka dihentikan.

”Ramai antara mereka ini adalah gagal mendapat perlindungan melalui skim yang sedia ada walaupun berada dalam golongan B40.

”Persoalannya mengapakah golongan ini tersasar dari bantuan SIP atau ERP?

Adakah mereka ini tidak layak atas sebab mereka masih belum cukup bekerja dalam tempoh setahun? Dan jika mereka belum masuk tempoh setahun, adakah ini memberi lebih ruang kepada majikan mereka untuk memberhentikan kontrak pekerjaan mereka secara drastik?

Jadi soalan sekarang ramai mereka masih bertanya adalah manakah bantuan dan perlindungan untuk golongan pekerja ini jika mereka dihentikan pekerjaan dalam tempoh 4 hingga 6 bulan bersama syarikat?

Apakah jenis bantuan kerajaan telah menyediakan untuk golongan pekerja seperti ini?” soal Presiden Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM), Ismail Nasaruddin.

Dakwanya, apabila pekerja ini membuat rayuan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), permohonan mereka ditolak atas sebab mereka masih dalam kontrak dan belum cukup caruman 12 bulan.

Alasan yang diberikan kepada pekerja ini, kata Ismail, adalah tidak masuk akal kerana mereka telah diberhentikan atas sebab pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19 sejak Mac 2020.

Soal Ismail lagi, mengapa mereka ini tidak layak menerima bantuan SIP sedangkan pekerja-pekerja ini membuat caruman SIP sehingga mereka dihentikan, walaupun  mungkin belum cukup tempoh 12 bulan.

”Sepatutnya perlindungan ini harus diutamakan kepada golongan yang baru bekerja dan berkontrak kerana ramai antara pekerja ini telah menjadi mangsa kepada keadaan Covid-19.

”Ia adalah satu pukulan hebat kepada golongan pekerja terutama kepada generasi muda yang sudah kehilangan pekerjaan mereka dalam tempoh amat singkat dalam karier penerbangan mereka,” ujarnya yang mendakwa lebih 1,000 pekerja kru kabin telah hilang pekerjaan mereka dalam tempoh PKP.

Katanya, masalah seumpama inilah yang kerajaan harus teliti semula dan memperbaiki skim perlindungan untuk pekerja dalam kontrak.

”Sama juga isu skim ERP di mana ramai dari pekerja ini tidak mendapat bayaran RM600 apabila mereka telah dicutikan oleh syarikat mereka atas alasan had bayaran hanya kepada 200 pekerja saja dalam satu syarikat.

”Walhal angka yang terjejas dalam keadaan Covid-19 adalah lebih dari angka yang dihadkan. Ini semua menampakkan betapa lemahnya sistem perlindungan pekerjaan yang sedia ada hari ini.

”Sepatutnya golongan pekerja ini harus diberikan perlindungan saksama, tidak kira had umur mereka atau berapa lama bekerja, mereka harus diberikan perlindungan pekerjaan yang sama oleh kerajaan, mahupun pekerja dalam kontrak dan pekerja tetap,” kata Ismail lagi.

Tegasnya, nilai dan pengorbanan pekerjaan seseorang pekerja itu harus diambil kira dan majikan tidak boleh mengambil kesempatan untuk menghentikan mana-mana pekerja tanpa sebab yang kukuh.

Kefahaman ini mesti diambil kira terutama sekali di peringkat atasan kerajaan kerana untuk mendapat sesuatu pekerjaan pada hari ini juga bukan senang terutama ketika pandemik Covid-19 masih aktif menular.

”Ada majikan yang menghentikan pekerja ini kerana merasakan golongan muda ini boleh mendapat pekerjaan lain. Ini sama sekali menampakkan betapa idealogi pembuangan pekerja itu tidak penting bagi sesetengah syarikat penerbangan ini.

”Apa yang mereka mahu adalah keuntungan lebih tanpa mengambil kira kepada pengorbanan pekerja mereka,” tambahnya.

Oleh itu, NUFAM mengesa kerajaan terutama sekali Kementerian Sumber Manusia dapat memperbaiki semula skim bantuan pekerja golongan muda dan perlindungan pekerja kontrak disemak semula demi memastikan keadilan dan saksama ini diberikan kepada pekerja yang hilang mata pencarian. – MalaysiaGazette