KUALA LUMPUR – Siapa yang tidak marah dan kecewa melihat adegan ‘membakar kucing’ secara hidup-hidup yang tular beberapa hari lepas.

Walaupun maklumat berikutan insiden yang rata-ratanya telah mendapat kecaman, ada pihak terus tampil menawarkan wang berpuluh ribu ringgit kepada sesiapa yang boleh membantu mengenalpasti si pelakunya.

Ganjaran itu akan diberikan kepada mana-mana pemberi maklumat yang berjaya memberikan apa jua keterangan atau maklumat berhubung insiden tersebut.

Terbaharu, seorang ahli perniagaan terkenal, Datuk AK Thevaraja Vel sedia memberikan ganjaran wang tunai RM10,000 kepada sesiapa sahaja yang dapat memberikan maklumat tentang kejadian itu.

Thevaraja yang juga seorang pencinta haiwan berkata, dirinya cukup terganggu sejak melihat video tersebut dan tidak akan  senang duduk selagi individu atau kumpulan melakukan perbuatan itu dibawa ke muka pengadilan.

“Manusia apa ini melakukan perbuatan yang langsung tiada perikemanusian atau belas terhadap haiwan seperti ini? Ketika bercakap dengan anda, saya masih lagi menggeletar dan sakit hati, berang dan fikiran cukup terganggu.

“Sejak lihat video klip itu, saya pasti bukan saya seorang sahaja sebaliknya ramai lagi di luar sana rasa apa yang saya rasa ketika ini, sememangnya sesuatu yang kita langsung tidak boleh terima jauh sekali memaafkan yang lakukan perbuatan begitu teruk seperti ini.

“Seperti yang umum ketahui, sehingga kini siasatan masih lagi samar-samar lagi lokasi kejadian itu katanya mungkin di Pahang, ada juga kata luar negara. Kita tidak pasti apa yang betul jadi saya mohon kepada sesiapa di luar sana. Polis juga masih lagi sedang jalankan siasatan.

“Seandainya ada maklumat tentang perkara ini, tolonglah tampil beri maklumat. Saya secara peribadi ingin berikan wang ganjaran RM10,000 sebagai penghargaan kepada sesiapa yang dapat bantu siasatan sehingga tertangkapnya ‘orang tidak guna’ ini,” katanya kepada Malaysia Gazette.

Jelas Thevaraja yang berasal dari Klang itu, beliau mahu sesiapa yang bertanggungjawab dengan kejadian membakar kucing itu dihukum supaya ia tidak berulang.

“Tidak mahu dan tidak sanggup lagi tengok insiden seperti ini. Apalah dosa binatang itu sehingga perlu diperlakukan seperti itu? Sememangnya langsung tiada kemaafan. Mohon jika dapat di tangkap, semoga undang-undang paling keras semaksimum mungkin diberikan kepadanya,” tegas Thevaraja.

Sebelum ini, Persatuan Haiwan Malaysia (Malaysia Animal Association) menawarkan ganjaran RM10,000 kepada mana-mana individu atau kumpulan yang mempunyai maklumat mengenai insiden membakar kucing itu beberapa hari lepas.

Persatuan tersebut memuat naik satu klip video berdurasi 45 saat yang memaparkan seekor anak kucing sedang dibakar dan perbuatan zalim itu dirakam sendiri oleh pelakunya. –MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Ganjaran RM10,000 untuk maklumat tepat bakar kucing

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast