Abdul Hamid Bador

KUALA LUMPUR – Lebih 2,800 rakyat Malaysia yang masih belum melakukan ujian saringan kedua COVID-19 selepas 13 hari menjalani kuarantin sebaik pulang dari luar negara bakal ditahan dan didakwa, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata, tindakan akan bermula hari ini dengan senarai nama diperoleh daripada Kementerian Kesihatan.

“Mereka akan berdepan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika masih enggan menjalani ujian saringan COVID-19 kali kedua, bermula hari ini.

“Sekiranya mereka yang ditahan ini positif COVID-19, kita akan dakwa mereka selepas pulih. Saya amat tegas mengenai perkara ini,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, keputusan tersebut dibuat selepas mesyuarat khas Kabinet bersama Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah di Putrajaya hari ini.

Menurutnya, taklimat mendedahkan punca penularan baharu disebabkan ketidakpatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) dan polis telah diminta meningkatkan penguatkuasaan undang-undang.

Abdul Hamid turut memberi amaran sama kepada lebih 9,600 rakyat Malaysia yang kini menjalani kuarantin di rumah agar mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan.

“Kami akan buat pemeriksaan mengejut di rumah mereka bermula hari ini, jangan degil,” katanya. – Bernama

1 Komen

  1. Good good!! Polis please sumbatkan je mrk ni dlm lokap….Ni kluster kayangan ni dah alh degil..menyusahkan rakyat tempatan..kita ni dah seksa duk berkurung berbulan2..mrk balik bila dah longgar PKP senang2 jer sebarkan balik penyakit..patut jgn bagi balik terus sampai ada vaksin..musibat betul lah manusia selfish ni..

Comments are closed.