Rina Mohd Harun

BERA – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menjangkakan jumlah penerima manfaat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan meningkat tiga kali ganda, dengan penetapan had baharu Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Nasional, kata Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Beliau berkata, buat masa ini, JKM telah memperuntukkan RM1.53 bilion setahun untuk penyaluran bantuan kepada lebih 500,000 penerima yang layak, berdasarkan kepada penetapan PGK sebanyak RM980 sebulan, sebelum Jabatan Perangkaan pada 10 Julai lalu, mengumumkan had baharu PGK ialah RM2,208.

Had baharu itu menurut Rina, membolehkan kementerian merangka strategi dan pendekatan yang lebih baik, dalam pelaksanaan dasar program kerajaan, khususnya yang berkaitan pembasmian kemiskinan dan meningkatkan taraf sosio-ekonomi rakyat, selain aspek kebajikan.

“Penetapan had baharu PGK adalah bertepatan dengan realiti sebenar kehidupan rakyat, yang pada masa ini turut berdepan dengan implikasi yang disebabkan oleh penularan pandemik wabak COVID-19, sehingga membawa kesan kepada aspek sosio-ekonomi mereka.

“Sungguhpun kadar baharu akan meningkatkan jumlah rakyat yang tergolong dalam kemiskinan, namun tindakan ini menzahirkan keprihatinan dan ketelusan kerajaan hari ini, untuk mendengar permasalahan rakyat, dalam situasi sebenar kehidupan rakyat,” katanya.

Rina berkata demikian kepada pemberita selepas Ziarah Komuniti terhadap pesakit kencing manis dan darah tinggi, Nik Hamid Kub, 50, yang terlantar tiga bulan di rumahnya di Taman Merbau Indah di sini, hari ini.

Selain itu Rina berkata, semua agensi dan jabatan di bawah kementeriannya, sedang meneliti secara terperinci dasar dan program sedia ada yang berkaitan PGK, supaya penambahbaikan dapat dilakukan selari dengan kadar baharu yang telah diumumkan.

Katanya, buat masa ini terdapat 11 jenis bantuan disalurkan menerusi JKM, antaranya Bantuan Kanak-Kanak, Bantuan Orang Tua, Bantuan Penjagaan OKU Terlantar dan Pesakit Kronik Terlantar dan Tabung Bantuan Segera. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast