KUALA LUMPUR – Siapa sangka, sejak tayangan drama bersiri Tamil tempatan Tamiletchumy ianya sudah menjadi bualan ramai malah menjadi satu ‘kegilaan’ dalam kalangan masyarakat India di negara ini.

Ini kerana situasi seperti ini ‘lebih kena’ dengan drama bersiri yang menjadi bualan ramai jika ianya pasaran dari India buat penonton di negara ini.

Namun kali ini, Tamiletchumy seolah-olah menembusi pasaran tempatan sekaligus meletakkan penanda aras tinggi kepada keluaran akan datang malah drama itu menepati citarasa penonton sekarang.

Penulis sendiri banyak didekati oleh peminat tempatan dengan penuh teruja bercerita tentang drama ini sejak ianya mula ditayangkan pada 8 Jun lepas.

Malah hampir saban hari penonton tidak kira latar belakang, usia mahupun kaum seolah-olah tertunggu Tamiletchumy hasil garapan pengarah terkenal, TS Dr Vimala Perumal itu.

Beberapa hari lepas, dengan penuh emosi bersama-sama adengan serta klimaks tidak disangka-sangka tamatlah musim pertama 27 episod Tamiletchumy keluaran Astro Vaanavil pada 22 Julai lepas.

MalaysiaGazette yang sempat bercakap dengan Naib Presiden Saluran Perniagaan India, Astro, Marc Lourdes melahirkan rasa gembira dengan pencapaian Tamiletchumy yang padanya sungguh memberangsangkan.

Malah ia juga sebenarnya telah memberikan galakan lebih kepada Astro Vaanavil untuk berterusan mengetengahkan hasil tempatan yang sebenarnya tidak kurang hebatnya pada masa ini.

Rating untuk Tamiletchumy di Astro Vaanavil juga dianggap yang tertinggi iaitu 300,000 tontonan dan sememangnya pencapaian cukup hebat.

“Rekod tayangan tinggi yang diperoleh Tamiletchumy adalah terang lagi bersuluh bahawa produk tempatan yang tinggi kualitinya akan mendapat tempat di hati penonton Malaysia tidak kira apa jua keadaan.

“Kami begitu berbesar hati dan ingin mengucapkan terima kasih tidak terhingga atas sokongan penonton yang cukup memberangsangkan, anda telah bantu Tamiletchumy catat kejayaan sungguh luar biasa. Terima kasih sekali lagi.

“Ini juga sebenarnya motivasi untuk kami untuk memperjuangkan produk India tempatan bagi membolehkan pelanggan kami terus menikmati hiburan berkualiti tanpa langsung mengira genre sekaligus mengenengahkan bakat seni cukup hebat,” katanya.

Dalam pada itu, ketika bercakap dengan Vimala, beliau bukan sahaja teruja sebaliknya masih dalam keadaan ‘terkejut’ kerana tidak menyangka skrip Tamiletchumy yang ditulisnya bersama-sama suaminya, Denes Kumar kira-kira 10 tahun lalu mendapat sambutan luar biasa.

“Saya seperti hilang kata-kata. Terima kasih sangat-sangat kerana ini adalah kejayaan anda sekelian. Kita juga mampu mengeluarkan karya seni seangakatan persada antarabangsa. Saya cukup gembira, kami dari Veedu Production cukup berterima kasih.

Tamiletchumy adalah usaha pertama saya, Denes dan Veedu Production dalam menghasilkan drama bersiri seperti ini dengan harapan dan cita-cita permasalahan yang di hadapi oleh rata-rata masyarakat dapat di ketengahkan.

“Hakikatnya, isu-isu ini bukanlah sekadar hiburan mahupun drama sebaliknya realiti kehidupan segelintir daripada kita. Mungkin juga ini adalah antara intipati kejayaan Tamiletchumy.

“Besarlah harapan ini jika Tamiletchumy ini bukan hanya dilihat sebagai hiburan sebaliknya sesuatu yang boleh dijadikan pengajaran dan peringatan buat kita semua. Sekali lagi terima kasih dengan kalian,” kata Vimala.

MalaysiaGazette turut difahamkan, kemungkinan akan ada ‘musim kedua’ Tamiletchumy dan ketika ini adanya siri perbincangan antara pihak berwajib memandangkan drama itu mendapat tontotan tinggi dan permintaan bagi sambungan keduanya.

Tamiletchumy mengetengahkan pengorbanan yang dilalui tiga wanita yang sudah berkahwin bagi menghadapi kehidupan yang  mencabar di ibu kota.

Tiga nama pelakon wanita, Tamil@Sentamizh, Letchu@Lethcumitra dan Amy@Abhiramy, disingkatkan untuk  dijadilah tajuk drama itu, Tamiletchumy.

Ketiga-tiga pelakon utama yang membarisi drama itu sekaligus menjadi tunjang belakang kepada keberkesanan wataknya termasuklah nama-nama tidak asing dalam drama tempatan Tamil iaitu Hemaji (Tamil), Jasmin Michael (Letchu) dan Moon Nila (Amy)

Pelakon lain yang membintangi drama ini termasuklah Seelan Manoheran, James Arokiasamy, Devendran Sarimirgan, Malarvizhi Shanmugam, Agalyah Maniam, Sri Kumaran dan Dhurgaashini Vijyan. –MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tamiletchumy dapat sambutan luar biasa