Konkrit penghadang di jalan masuk Bazar Malam Seksyen 9 Bangi.

BANGI – Kira-kira 300 peniaga pasar malam memohon kerajaan Persekutuan campur tangan dalam pemasangan konkrit menghalang pintu masuk ke Bazar Malam Sesyen 9 di sini.

Ia berikutan mereka memiliki empat hari lagi sebelum lesen perniagaan mereka tamat pada 31 Julai ini.

Wakil peniaga, Salmah Othman berkata, ibarat jatuh ditimpa tangga apabila batu konkrit baharu diletakkan di laluan belakang dan pintu masuk ke Bazar Malam dengan alasan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) terpaksa akur arahan kerajaan Persekutuan untuk menutup laluan ke taman rekreasi sebagai pematuhan syarat Covid-19.

“Malangnya pintu masuk bazar sama laluannya ke taman rekreasi. Kenapa laluan depan di taman rekreasi MPKj ditutup sedangkan tempat tumpuan ramai seperti kompleks beli belah dibuka?

“Kenapa jalan masuk ke bazar malam ditutup? Kerajaan Selangor kata kerajaan Persekutuan arahkan tutup. Betul ke? Sebab banyak tempat sudah dibuka sekarang bukan PKP tetapi PKPP. Mana logiknya jalan ditutup?

“Jika PKP pun jalan tidak ditutup tapi dibuat sekatan tapis orang lalu lalang sahaja tetapi ini jalan ditutup dengan batu simen penghadang,” katanya ketika ditemui semalam.

Salmah Othman

Menurut Salmah, banyak isu berlaku termasuk menghalang mereka berniaga walaupun selepas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan dan sebagainya menunjukkan sesuatu yang tidak kena berlaku sebelum ini.

“Sehubungan itu dimohon kerajaan Perikatan Nasional di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin dengarlah rintihan dan kekecewaan kami ini bantulah kami hendak mencari rezeki di bumi sendiri bukannya mohon belas ehsan mana-mana bantuan kerajaan,” katanya.

MalaysiaGazette menerusi beberapa siri laporan beberapa hari lalu mengetengahkan nasib 300 peniaga Bazar Malam Seksyen 9, Bangi yang masih memiliki lesen sah tertekan akibat tidak dibenarkan berniaga di tapak berkenaan dengan pelbagai alasan.

Kebimbangan mereka semakin memuncak dengan keadaan tempoh sah lesen yang akan tamat hujung bulan ini, hanya dibenarkan berniaga tiga hari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasa 18 Mac lalu yang menyebabkan mereka hilang sumber rezeki selama tiga bulan.

Para peniaga turut membangkitkan wujudnya ‘tangan ghaib’ yang cuba ambil alih tapak itu dikatakan antara punca mereka tidak dibenarkan berniaga.

Menerusi dialog antara peniaga, penganjur dan wakil MPKj pada Ahad lalu, Ahli Majlis MPKj, Fauzi Hasim memaklumkan isu teknikal yang belum selesai antara punca tapak itu tidak dibenarkan beroperasi.

Bagaimanapun menurut pihak penganjur isu teknikal sudah diselesaikan malah serahan awal fail hilang di kaunter MPKj yang menyebabkan mereka terpaksa mengulang semula prosidur teknikal dan membayar lebih RM60,000 untuk beberapa kos dikenakan MPKj.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast