Kerajaan menetapkan sebanyak 20 orang bagi mengendalikan seekor haiwan untuk ibadah korban pada Aidiladha tahun ini.

KUALA LUMPUR – Kerajaan menghadkan ibadah korban tidak boleh melebihi 10 ekor haiwan bagi pelaksanaan di masjid dan surau termasuk lokasi korban yang telah dibenarkan oleh Pejabat Agama Daerah dan pihak berkuasa tempatan.

Ia merupakan prosedur operasi standard (SOP) baharu ibadah korban yang disemak semula oleh kerajaan setelah mengambil kira risiko penularan semula jangkitan Covid-19.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, had ibadah korban ini tertakluk kepada keluasan lokasi korban.

“Jika sesuatu kawasan itu kecil hanya untuk enam ekor haiwan, maka ia perlulah dipatuhi,” katanya dalam taklimat harian mengenai Perintah Kawalan Pergerakan dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan.

Bagaimanapun, kerajaan menggalakan agar ibadah korban dilakukan di rumah penyembelihan di bawah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan pusat penyembelihan swasta.

Menurut beliau, JPV memiliki 28 buah rumah penyembelihan manakala rumah penyembelihan swasta yang dilesenkan sebanyak 31 buah.

Manakala jumlah kehadiran sewaktu ibadah korban pula mengikut 20 orang untuk setiap ekor haiwan.

Ismail Sabri berkata, SOP ini adalah untuk Wilayah Persekutuan tetapi boleh digunapakai oleh Majlis Agama Negeri-Negeri sebagai rujukan.

”Jamuan makan di tapak korban adalah tidak dibenarkan kecuali makanan dibungkus,” katanya

Tambahnya, waktu ibadah korban di masjid dan surau hanya boleh diadakan selama empat hari termasuk hari pertama Hari Raya Aidiladha, selepas solat sunat Aidiladha dan tiga hari Tasyrik.

Dalam pada itu, bagi sambutan Hari Raya Aidiladha, Ismail Sabri berkata, setiap rumah masih tidak boleh melebihi 20 orang pada satu-satu masa. – MalaysiaGazette