Dewan Rakyat Parliament Proclamation of Emergency Takiyuddin Hassan
Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata isu pelaksanaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU355 terlalu panjang untuk dijelaskan.

Justeru itu, ia akan dijawab dalam perbahasan mengenai isu berkenaan dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat, kelak.

“Itu dibawah bidang kuasa (Menteri) Agama tapi mungkin saya akan sentuh sikit. Nanti panjang, tidak boleh (jelas) sedikit sahaja.

“Saya akan jawab dalam sesi perbahasan,” katanya kepada media di Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu menjawab pertanyaan media mengenai kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Semalam, Tuan Ibrahim berkata, Pas sudah menjadi sebahagian daripada kerajaan dan tidak perlu lagi memainkan peranan untuk mendesak dalam sesuatu perkara sebaliknya mengemukakan cadangan.

“Dulu (kita) pembangkang tak apa kita desak kerajaan – sebab kerajaan itu bukan kita. Tapi sekarang kita kerajaan, kalau kita desak maknanya kita desak kita, kalau kita marah, kita marah kita.

“Maka selain mendesak pihak pemerintah, pendekatan mengemukakan cadangan apa yang patut kita buat sebagai kerajaan, apa yang patut kita buat,” katanya seperti dipetik Malaysiakini.

Untuk rekod, RUU355 dibawa oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 2017 bagi membentangkan Rang Undang-Undang Persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 (RUU 355).

Pindaan itu bertujuan memperkasakan Mahkamah Syariah dan meningkatkan hukuman jenayah sedia tanpa membabitkan masyarakat bukan Islam. – MalaysiaGazette