Gambar hiasan

KRISIS Parlimen yang berlaku pada lewat Februari 2020 telah mengejutkan semua rakyat di negara ini. Persoalan demi persoalan telah berlegar mengenai sejauh mana krisis tersebut akan memberikan impak terhadap proses demokrasi di negara ini. Perebutan kuasa yang melibatkan pelbagai parti politik di negara ini kekal menjadi satu naratif utama yang tidak mungkin dapat dipisahkan di dalam diskusi seharian. Ramai orang tidak menjangkakan bahawa gabungan parti politik Pakatan Harapan (PH) yang telah diberikan mandat di dalam pilihan raya umum 2018 itu telah kehilangan kuasa di dalam sekelip mata dan tampuk pemerintahan pula digantikan dengan rejim baharu. Namun tujuan utama penulisan ini bukanlah untuk membincangkan secara terperinci berkenaan dengan pergolakan itu tetapi ia lebih kepada apa yang boleh dimanfaatkan oleh golongan akademik yang menjadikan “politik” itu sebagai satu disiplin teras atau
fundamental.

Seorang penganalisis politik sewaktu ditemubual mengenai isu tersebut telah berhujah bahawa pergolakan politik yang berlaku itu adalah satu bentuk “assignment” kepada rakyat umum. Penulis melihat keadaan ini dan berpendapat bahawa ia bukanlah sekadar “assignment” yang bersifat biasa yang tidak mempunyai apa-apa impak terhadap pengoperasian kesarjanaan kerana dari sudut dan perspektif ahli akademik, pergolakan politik yang berlaku itu sememangnya dapat menambahkan nilai-nilai dan kualiti kesarjanaan itu. Fenomena ini jarang sekali berlaku di dalam konteks politik tempatan dan malah ianya sama sekali tidak dapat dijangkakan bahawa akan wujud perubahan politik yang begitu drastik sekali. Di sini dapat dinyatakan fenomena pergolakan politik tersebut dapat dimanfaatkan sebaiknya jikalau krisis tersebut direkodkan secara ilmiah dan berpandukan perbahasan yang bersifat teoretikal. Dalam erti kata lain, krisis ini membuka satu ruang yang luas kepada ahli akademik di luar sana terutama sekali
mereka yang berkecimpung di dalam bidang sains sosial seperti sains politik, sejarah, sosiologi, psikologi, ekonomi dan sebagainya. Persoalan fundamental yang ingin dibangkitkan di dalam ini adalah sejauh manakah isu tersebut dapat memberikan nilai tambah kepada ahli akademik di luar sana. Umum mengetahui bahawa ahli akademik sains sosial ini boleh dikenali sebagai pengkaji sosial di mana mereka mendekati sesuatu fenomena sosio-politik itu melalui kaedah penyelidikan yang tertentu.

Walaupun krisis ini berlaku secara spontan dan tiba-tiba namun jika kalau difikirkan semula ia sudah berlaku dan sedang berlaku dan akan memberikan kesan yang merentasi sempadan kemasyarakatan. Seperti contoh, fenomena pilihan raya umum ke-14 pada Mei 2018 telah mengakibatkan satu implikasi kesarjanaan yang bersifat sangat kompetitif di mana golongan akademik seperti saintis politik, sejarawan, dan ahli sosiologi telah merekodkan fenomena tersebut melalui penulisan akademik. Malah menurut pemerhatian penulis terdapat lebih dari dua puluh penulisan telah diterbitkan sama ada di dalam atau di luar negara yang berkaitan dengan pilihan raya tersebut. Dan terdapat juga beberapa orang sarjana yang mengambil satu inisiatif untuk merekodkan PRU14 tersebut melalui penulisan di dalam bentuk buku. Walaupun baru sahaja dua tahun telah berlalu namun aktiviti penulisan yang berkaitan dengan PRU14 kerap kali ditonjolkan di dalam jurnal akademik sama ada di dalam dan di luar negara. Penulis ingin menekankan di sini bahawa krisis parlimen yang berlaku ini adalah satu peluang keemasan yang perlu direbutkan oleh golongan akademik sains sosial.

Di antara hujah yang boleh diketengahkan adalah fenomena tersebut merupakan satu perubahan politik yang bersejarah dan tidak pernah berlaku sebelum ini. Selain itu, ahli akademik juga boleh menulis berkenaan isu tersebut dengan memasukkan perspektif yang berbeza dan juga menulis dengan gaya yang lebih kritikal dan berpandukan kepada kerangka teoretikal. Kerana ini secara tidak langsung akan membantu penulisan mereka untuk menembusi jurnal akademik berimpak tinggi yang berindeks Scopus/ISI di peringkat antarabangsa. Dalam erti kata lain akan memberikan nilai tambah kepada
kesarjanaan seseorang ahli akademik itu. Inilah yang membezakan antara seseorang ahli
akademik itu dan orang yang bukan akademik. Orang yang bukan dari latar belakang akademik sains sosial akan terus membahaskan fenomena politik yang berlaku itu tanpa perlu mengambil kira pendekatan teoretikal dan dalam erti kata lain seperti “sembang di warung kopi”. Walaupun ia agak menarik untuk didengari tetapi dari segi hukum akademik, asas kepada perbahasan itu perlu mengikuti jalur-jalur disiplin yang ditetapkan supaya tidak tergelincir dari sudut epistemologi itu.

Namun bagi ahli akademik pula mereka akan lebih kekal relevan di dalam dunia ilmu apabila mereka merekodkan fenomena yang berlaku itu di dalam bentuk penulisan ilmiah kerana ini secara tidak langsung akan membantu generasi akan datang untuk lebih berhati-hati sebelum boleh berbahas tentang sesuatu isu itu kerana ianya telah direkodkan melalui metodologi penyelidikan yang kukuh. Generasi akan datang juga dapat memanfaatkan sebaik mungkin penulisan yang pernah dihasilkan berkenaan dengan krisis pergolakan politik tersebut dan ini sedikit sebanyak akan membantu mereka untuk mengetahui tentang sejarah sebenar. Walaupun dalam hanya masa beberapa bulan ini telah banyak penganalisis politik (sama ada di dalam atau di luar disiplin ilmu) yang tampil ke hadapan untuk memberikan komen tentang isu yang berlaku namun penulis yakin bukan kesemua di antara mereka yang mampu untuk menghasilkan satu penulisan yang berkualiti dan mempunyai impak yang tinggi. Penulis juga yakin di saat krisis Parlimen ini berlaku, sarjana di dunia Barat telah bersiap sedia untuk menulis sesuatu tentang isu tersebut (sememangnya ada!). Dan ini, bagi penulis, adalah sesuatu yang merugikan jika tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh ahli akademik tempatan.

Penulis juga ingin melihat pada masa akan datang nanti sejauh manakah isu pergolakan kuasa yang berlaku ini akan direkodkan ke dalam bentuk penulisan akademik yang bersifat teratur dan tidak berpihak kepada mana-mana blok pemikiran politik dan berpandukan sepenuhnya ke atas metodologi penyelidikan dan diadili sekurang-kurangnya oleh dua orang pengadil akademik yang mempunyai “authority” di dalam disiplin tersebut. Terakhir sekali, jikalau bukan pengkaji sains politik dan ahli sejarah, siapa lagi yang hendak merekodkan fenomena sosio-politik tersebut?

DR. ARIFF AIZUDDIN AZLAN adalah seorang pensyarah kanan Sains Politik di Fakulti Pengajian Polisi, UiTM Kampus Seremban dan juga Felo Penyelidik di Pusat Kajian Demokrasi  dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast