Ismail Sabri Yaakob government corruption MACC
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pusat telah meluluskan permohonan Kerajaan Negeri Sarawak untuk menghadkan pergerakan perjalanan antara zon di negeri itu dari 1 Ogos sehingga 14 Ogos 2020.

Perintah kawalan pergerakan itu diambil oleh kerajaan negeri bagi mengekang penularan wabak Covid-19 di Sarawak khususnya di Kuching.

Zon tersebut dibahagikan kepada dua iaitu Zon 1 terdiri Kuching, Serian dan Samarahan (Zon Kuning/Merah) dan Zon 2: Bahagian Seri Aman, Betong, Sarikei, Kapit, Mukah, Bintulu, Miri dan Limbang (Zon Hijau).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mana-mana individu yang mahu bergerak antara zon hendaklah terlebih dahulu mendapat kebenaran daripada polis  manakala hanya pergerakan dalam zon dibenarkan.

Selain itu, katanya, jumlah penerbangan dari Semenanjung, Sabah dan Labuan ke Sarawak akan dikurangkan mulai 1 sehingga 14 Ogos ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan polis telah menahan 357 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Daripada jumlah itu, seramai 32 individu telah direman manakala dua individu dijamin dan 323 individu lagi dikenakan kompaun.

Kesemua mereka telah diambil tindakan kerana terlibat dalam aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial dan aktiviti yang melanggar SOP.

“Terdapat peningkatan penahanan oleh Task Force Operasi dan jumlah yang dikenakan tindakan ini jelas menunjukkan polis tidak berkompromi terhadap mana-mana individu yang melanggar peraturan.

”Task Force akan mempertingkatkan pemeriksaan serta mengambil tindakan ke atas pemilik premis dan orang awam yang tidak mematuhi SOP PKPP yang ditetapkan,” ujarnya. – MalaysiaGazette