KUALA LUMPUR – Pembangunan Residensi Tebrau yang dibangunkan oleh Perbadanan PR1MA Malaysia sudah 94%.
Residensi Tebrau adalah salah satu daripada empat projek PR1MA yang sedang dalam pembinaan di Johor.
Ia terdiri daripada 1,284 unit apartmen servis dengan tiga jenis saiz keluasan.
Setakat 16 Julai tahun ini, sebanyak 819 unit telah terjual dan 459 unit telah ditempah.
”Residensi Tebrau kini berada dalam fasa-fasa terakhir pembinaan merangkumi kerja-kerja kemasan setiap unit serta pentauliahan kerja bagi tujuan kelulusan Sijil Siap dan Pematuhan (CCC), yang mana fokus adalah lebih kepada bahagian dalaman setiap unit,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Nazri Md. Shariff.
PR1MA pada bulan Februari 2020 telah mengumumkan kelewatan tarikh siap projek Residensi Tebrau.
Projek ini yang sepatutnya siap pada bulan Mac 2020, telah ditunda ke tarikh jangka siap yang baharu iaitu Jun 2020.
Namun begitu, berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tarikh jangka siap ini telah dianjak ke bulan Oktober 2020 disebabkan oleh keterbatasan industri pembinaan sepanjang PKP.
Tarikh baharu jangka siap projek ini telah dimaklumkan kepada para pembeli yang terkesan pada bulan Jun 2020.
”Kami menjangkakan kelewatan dalam proses pembinaan di tapak berikutan pelaksanaan PKP baru-baru ini melibatkan kesemua projek-projek PR1MA termasuk Residensi Tebrau.
”Jangkaan kami, kelewatan akan mengambil masa selama tiga ke empat bulan selari dengan Pekeliling daripada pihak Jabatan Kerja Raya berkaitan lanjutan tempoh masa (EOT) yang boleh diberikan kepada kontraktor selama 114 hari,” tambah Mohd Nazri. – MalaysiaGazette