Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Willie Mongin melawat tapak pameran selepas merasmikan Webinar TOT 2020 Seminar Pemindahan Teknologi MPOB ketika di Ibu Pejabat MPOB, Bandar Baru Bangi, Selangor. foto MOHD ADZLAN, 07 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Selepas menjenamakan semula kempen “Sayangi Sawitku” kepada nama baharu iaitu “Sawit Anugerah Tuhan” Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata slogan itu akan dipromosikan keluar negara.

Timbalan Menterinya, Willie Mongin berkata slogan yang diputuskan pada 22 Julai lalu itu mampu untuk diketengahkan di peringkat tempatan dan antarabangsa.

“Memang benar kita akan war-warkan slogan ini bahasa Sawit Anugerah Tuhan. Kalau di terjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris “Is a god gift”.

“Dan kita akan terus menobatkan sawit kita sebab kita percaya kita boleh perluaskan di peringkat hiliran, ini kita nak value added itu berlaku dalam negara kita. Banyak daripada produk sawit kita khasnya CPO ini, kita eksport ke luar, tetapi value addednya diperingkat down stream tidak berlaku dalam negara kita,” katanya di Dewan Rakyat ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tion.

Ahli Parlimen itu meminta kerajaan menjawab sama ada slogan “Sawit Anugerah Tuhan” akan dibawa ke peringkat antarabangsa bagi melawan kempen anti kelapa sawit.

Dalam soalan tambahannya, Khoo bertanya adakah slogan tersebut jika diterjemahkan kepada Bahasa Inggeris ia mampu meyakinkan peringkat antarabangsa yang kini sedang giat menjalankan kempen anti kelapa sawit.

“Memandangkan kerajaan baru telah mengeluarkan satu slogan yang baru, Sawit Anugerah Tuhan, jadi soalan saya kepada menteri adakah kerajaan rancang untuk gunakan slogan ni Sawit Anugerah Tuhan ke peringkat antarabangsa.

“Terutamanya bila kita nak lawan kempen anti kelapa sawit dan kalau kita cuba terjemahkan Sawit Anugerah Tuhan ini kepada bahasa Inggeris, kalau ‘pengkhianat,’ kita translate dalam english (sebagai) ‘traitor.’

“Kalau kita translate Sawit Anugerah Tuhan, adakah ia akan meyakinkan pasaran antarabangsa?,” soal Khoo.

Sebelum ini, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Khairuddin Aman Razali memaklumkan kepada Dewan Rakyat slogan baru itu adalah untuk menggantikan menggantikan sloigan  ”Sayangi Sawitku” yang diperkenalkan pada 8 Januari 2019 sebagai respon kepada kempen Kesatuan Eropah, kerana ia “lebih baik”.

Menteri terdahulu, Teresa Kok mengemukakan soalan kepada Khairuddin siapa sasaran slogan baru kempen penerangan sawit, yang ditukar daripada “Sayangi Sawitku” kepada “Sawit Anugerah Tuhan”.

Kok menerangkan cabaran yang dihadapi industri sawit ialah persepsi negatif terhadap eksport negara yang ketiga terbesar itu, dan kempen dilancar untuk memberi penerangan tentang sawit Malaysia ke seluruh dunia. – MalaysiaGazette