KUALA LUMPUR – Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) menasihatkan orang ramai tidak menggunakan perkhidmatan orang tengah serta tidak terpedaya dengan pihak yang menawarkan “pakej kautim” dengan harga yang tinggi melampau.
Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mohammed Shukor Ismail berkata, pemeriksaan menggunakan komputer bermaksud data akan dimasukkan secara automatik ke dalam sistem serta tidak boleh diubah oleh mana-mana orang.
Katanya, sesetengah pihak bagaimanapun memperdaya mangsa dengan mengutip bayaran sehingga RM1,800 dengan mendakwa jumlah itu diguna untuk menyogok pihak Puspakom dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Jelasnya, pemeriksaan untuk kereta terpakai hanyalah RM30 manakala kos pertukaran di JPJ adalah RM100 iaitu berjumlah RM130.
“Tetapi orang tengah yang tidak bertanggungjawab telah mengutip antara RM800 hingga RM1,800 daripada pemilik kenderaan dan mengaut keuntungan besar,” katanya dalam wawancara bersama China Press.
Menurutnya, hasil pemeriksaan Puspakom adalah adil dan tepat manakala orang tengah tidak boleh berinteraksi dengan kakitangan kerana pergerakan mereka akan dirakamkan kamera litar tertutup (CCTV).
Mengenai rakaman baris panjang melibatkan lori yang menunggu giliran di pusat itu, Mohammed Shukor berkata, pihaknya kini mengamalkan sistem temujanji yang hanya membenarkan seorang satu kenderaan di bawah norma baharu.
“Sistem temujanji ini berjaya mencegah peranan orang tengah secara berkesan serta mengurangkan purata masa menunggu dan pemeriksaan.
“Purata masa yang diperlukan untuk menunggu pada masa ini adalah satu jam berbanding dua jam setengah sebelum ini,” katanya.
Menurutnya, data menunjukkan 93 peratus pemilik kenderaan berjaya menyelesaikan pemeriksaan dalam tempoh sejam dan 71 peratus dapat diselesaikan dalam 40 minit sahaja. – MalaysiaGazette
Minta kerajaan pertimbang semula kuasa diberi kpd Puspakom. Apa kuasa sebuah syarikat seperti ini yg boleh blacklist kenderaan org terus selepas jalani pemeriksaan? Sedangkan ada keadaan yang boleh pergi buat pemeriksaan dan pengesahan lanjut oleh jabatan kejuruteraan JPJ dahulu. Saya sbg rakyat mahu kuasa sebegini tak diberikan kpd sebuah syarikat swasta. Had puspakom cuma keluarkan notis utk periksa lanjut oleh JPJ jika ada kegagalan tertentu. Bukan blacklist dlm sistem terus.