Kakitangan pekerja Courts menonton siaran langsung Pengumuman Lanjutan Moratorium Dan Bantuan Bank Bersasar oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Setapak, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 29 JULAI 2020

KUALA LUMPUR – Setakat 20 Julai lalu, lebih 7.7 juta peminjam individu yang merangkumi 93 peratus daripada kesemua peminjam telah mendapat manfaat daripada moratorium bayaran pinjaman bernilai RM38.3 bilion.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dalam tempoh sama, sejumlah 243,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) atau 95 peratus daripada keseluruhan peminjam PKS telah mendapat manfaat moratorium bernilai RM20.7 bilion.

Sungguh pun demikian, jumlah peminjam individu yang meneruskan bayaran pinjaman dan tidak mengambil moratorium meningkat kepada 601,000 pada Julai 2020 berbanding 331,000 pada April.

Manakala, untuk tempoh yang sama, jumlah peminjam PKS yang memilih untuk tidak mengambil kemudahan ini telah meningkat daripada 5,000 kepada 13,000 peminjam.

“Walau bagaimanapun, saya sedar masih ada sektor-sektor ekonomi yang menghadapi keadaan yang sukar dan tidak menentu.

“Saya faham, ada perniagaan yang belum dapat beroperasi sepenuhnya dan ada dalam kalangan saudara dan saudari yang kehilangan pekerjaan serta punca pendapatan.

“Saya mendengar rintihan saudara dan saudari berkenaan moratorium bayaran pinjaman yang bakal berakhir pada 30 September ini.

“Saya juga tahu ramai yang berharap agar moratorium ini dilanjutkan,” katanya dalam satu perutusan khas mengenai Lanjutan Moratorium dan Bantuan Bank Bersasar hari ini.

Tambahnya, inisiatif terbaharu itu diharapkan dapat memberi nafas lega kepada semua rakyat Malaysia sementara kerajaan dan pihak industri terus berusaha keras untuk memulihkan semula ekonomi negara yang terjejas akibat pandemik Covid-19. – MalaysiaGazette