Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor bersama Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim meluangkan masa melawat tapak pameran pada Perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di IPD Sentul, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 29 JULAI 2020

KUALA lUMPUR – Polis akan mengambil keterangan pihak penganjur perhimpunan yang dilakukan di luar kawasan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur  semalam bagi memberi sokongan moral kepada Datuk Seri Najib Razak yang dijatuhkan hukuman penjara denda atas kesalahan salah guna kuasa dan pecah amanah.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, penganjur berkenaan telah mengingkari janji pada pertemuan dengan polis minggu lalu yang mana dia akan memastikan antara 800 hingga 900 orang akan berada di pekarangan mahkamah bagi memastikan penjarakan sosial dan prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dipatuhi.

“Mesej jaga penjarakan sosial ini dimaklumkan kepada mereka yang kemudian berjanji akan akan memastikan rombongan orang ramai yang akan dibawa ke mahkamah mematuhi SOP.

“Oleh kerana janji mereka, kami percaya sebagai masyarakat waras, mereka akan memegang pada janji dan mematuhi SOP apabila berhimpun di pekarangan pintu masuk kompleks mahkamah semalam.

“Malangnya, pagi semalam semuanya sudah di luar jangkaan daripada apa yang disebut dna dilaporkan ketua polis daerah berkaitan yang ada di lapangan dan oleh kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan kita memberi amaran berterusan meminta mereka mengekalkan penjarakan sosial tetapi oleh kerana terlalu ghairah mereka tidak mengendahkan arahan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas merasmikan bangunan baharu Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed.

Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan salah guna kuasa terhadap bekas Perdana menteri itu.

Bagi kesalahan pecah amanah pula, penjara 10 tahun setiap satu tuduhan.

Menurut Mazlan, laporan polis telah diterima dari orang awam mengenai perhimpunan yang melanggar SOP itu dan kertas siasatan telah dimulakan.

Tambah beliau, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 143 Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Peraturan 3 Aktiviti Terlarang di  bawah Akta 342 KKM.

Mazlan berkata, beliau kesal kerana pihak polis dipersalahkan dalam insiden itu.

Ditanya bagaimana polis akan mengenalpasti pesalah untuk dikompaun, Mazlan berkata, polis akan menggunakan rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV) untuk mengesan dan menjejaki kesemua yang bertanggungjawab dalam siasatan kes itu,

“Sebab dia berjanji polis. Tak jaga amanah itu, ini umpama pecah amanah yang dijanjikan kepada polis dan kini dia (penganjur) perlu bertanggungjawab sepenuhnya.

“Kepada mereka yang mengkritik polis tidak bertindak itu kena faham dalam situasi berkenaan kita tidak mahu mengeruhkan keadaannya dan sekadar cuba menasihati dan memberi amaran.

“Peraturan undang-undang yang ada digunakan untuk siasat mereka dan sekiranya didapati bersalah kompaun dan tindakan susulan akan dikenakan berdasarkan hasil siasatan nanti,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Mungkin yang dirancang hanya beberapa buah bas sahaja. Tetapi berduyun2 rakyat datang beramai2 secara sepontan tanpa disangka2 kerana sayangkan Najib, memberi sokongan moral!

    Kalau nak tangkap juga, jangan lupa tangkap jurukemera2 dan wartawan2 yang berlambak2 baik dari dalam mahupun luar negara! Mereka juga kena bayar kompaun!

    Itu baru nampak adil!

Comments are closed.