JOHOR BAHRU – Malaysia dan Singapura hari ini bersetuju meneruskan projek Sistem Rapid Transit dengan pemimpin dari kedua-dua negara bertemu di tengah-tengah Tambak Johor sebagai simbolik persetujuan.
Terdahulu, kedua-dua Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong diiringi bersama beberapa menteri kabinet masing-masing tiba di laluan darat tersibuk dunia itu pada kira-kira pukul 10 pagi.
Pada pertemuan itu, kedua-dua Perdana Menteri menyaksikan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong dan Menteri Pengangkutan Singapura Ong Ye Kung memegang dokumen rasmi sebagai simbolik bersetuju meneruskan projek RTS.
Turut hadir pada majlis simbolik itu ialah Menteri Kanan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad.
Di pihak Singapura pula, antara yang hadir ialah Menteri Luarnya Dr Vivian Balakrishnan dan bekas Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan.
Pertemuan yang berlangsung kira-kira 15 minit itu turut menyaksikan Muhyiddin, Lee bertanya khabar, di atas Tambak Johor, yang dianggap sebagai laluan darat “paling sibuk di dunia” dengan 350,000 pengguna setiap hari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.
Ini juga pertama kali Muhyiddin “bersemuka” dengan Lee sejak dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan pada 1 Mac lepas, sementara Lee pula baru sahaja mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Singapura yang baharu pada 27 Julai lepas, setelah partinya Parti Tindakan Rakyat (PAP) memenangi pilihan raya baru-baru ini.
Setelah tiga kali tertangguh, Malaysia dan Singapura dijangka bersetuju “untuk buat kali terakhirnya” meneruskan pembinaan projek RTS pagi ini.
RTS, yang merupakan alternatif bagi mengurangkan kesesakan di laluan berkenaan (Tambak Johor), merangkumi pembinaan laluan sepanjang empat kilometer menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru dan Woodlands di Singapura.
Pembinaan projek RTS yang dianggap kompleks itu telah melalui beberapa siri dan tempoh perbincangan yang lama di bawah kepimpinan tiga Perdana Menteri Malaysia, dan ia dijangka menelan kos sebanyak RM3.7 bilion meliputi spesifikasi yang telahpun dipersetujui oleh Malaysia dan Singapura.
Projek berkenaan yang mempunyai dua fasa pembinaan dijangka bermula tahun 2021 dan siap akhir hujung tahun 2026.
— BERNAMA