ZURICH – Pendakwaraya Khas Switzerland memulakan prosiding jenayah ke atas Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino.
Kerajaan itu telah melantik seorang pendakwaraya khas untuk meneliti urusan yang berlaku antara Infantino dan juga Peguam Negara Switzerland, Michael Lauber yang telah mengemukakan surat perletakan jawatan minggu lalu.
Siasatan itu berlandaskan pertemuan rahsia antara kedua-dua individu itu sekitar Jun 2017.
Wujud dakwaan bahawa kedua -dua individu penting itu mengadakan tiga mesyuarat tertutup berkaitan status inkuiri dalaman berkaitan rasuah yang sehingga kini tidak menampakkan hasilnya.
Mahkamah pada minggu lalu memutuskan Lauber merahsiakan mesyuarat bersama Infantino dan berbohong kepada penyelianya ketika pejabatnya menyiasat tuduhan rasuah yang telah menyelubungi badan kawalan bola sepak sedunia itu.
Lauber bagaimanapun menafikan sebarang salah laku dalam perkara tersebut.
Namun pada Mac lalu dia telah diambil tindakan ekoran ketidaksetiaan, pembohongan dan melanggar tatalaku pejabatnya.
Lauber juga dipotong gaji selama setahun selepas pasukan pemerhati yang ditugaskan mengawai pergerakannya mendapati Lauber berulangkali melanggar tatalaku sebagai pendakwaraya.
Stefan Keller yang dilantik sebagai pendakwaraya akan menilai aduan jenayah ke atas kedua-dua individu itu serta orang lain yang turut terlibat bersama mereka.
Infantino dan Mauber pernah menafikan terlibat dalam salah laku.
Pejabat Lauber sedia maklum mengenai pelantikan Keller sebagai pendakwaraya khas tetapi tidak bersedia mengulas lanjut.
Prosiding jenayah juga telah dimulakan ke atas Ketua Pendakwaraya Upper Valais, Rinaldo Arnold yang turut berasal dari kawasan Infantino dan juga rakan peribadinya.
Arnold juga dituduh oleh ahli politik demoktratik sosial Switzerland, Gilbert Truffer mengaturkan pertemuan antara Lauber dan Infantino.- MalaysiaGazette