Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud.

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memberi amaran akan membatalkan Pas Lawatan Jangka Panjang warga asing sekiranya mereka enggan membayar kos kuarantin Covid-19.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, keengganan mereka membayar kos kuarantin disifatkan telah menjejaskan usaha kerajaan Malaysia untuk mengekang penularan Covid-19.

“Mulai 24 Julai lalu, kerajaan telah mewajibkan semua warga negara Malaysia yang pulang ke negara ini dan warga negara asing yang diberi kebenaran masuk, dikuarantin selama 14 hari.

“Justeru, bagi warga negara asing, mereka dikehendaki menanggung sepenuhnya kos kuarantin berkenaan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Tambah Khairul Dzaimee, dalam perkembangan berkenaan, pihaknya memberi amaran warga asing yang enggan membayar kos kuarantin Covid-19 akan dibatalkan Pas Lawatan Jangka Panjang yang dimiliki mereka.

“Antara jenis pas yang terlibat ialah Pas Suami atau Isteri kepada warga negara, Pas Lawatan Kerja Sementara, Pas Lawatan Ikhtisas, Pas Penggajian (ekspatriat), Pas ‘Malaysia My Second Home’ (MM2H) dan lain- lain kategori.

“Jabatan ini menasihatkan supaya semua warganegara asing dan rakyat tempatan mematuhi arahan dan peraturan semasa serta peka dengan pengumuman-pengumuman terkini dari agensi kerajaan berhubung langkah-langkah pencegahan pandemik Covid-19.

“Mereka akan dikenakan tindakan undang-undang jika ingkar arahan atau gagal mematuhi Standard Operation Prosedure (SOP) yang telah ditetapkan,” tegas Khairul Dzaimee.- MalaysiaGazette