Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa meluangkan masa menyaksikan ibadah korban seekor lembu selepas menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Jamek Tengku Abdul Aziz Shah, Sungai Penchala, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 31 JULAI 2020

KUALA LUMPUR – Ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha yang disambut hari ini oleh umat Islam berbeza sedikit berbanding tahun-tahun sebelum ini dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19 yang ditetapkan kerajaan.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata, ibadah korban melibatkan penyembelihan lebih 10 ekor haiwan seperti disyaratkan SOP Majlis Keselamatan Negera dengan kehadiran tidak lebih 20 orang dipatuhi tanpa masalah.

“Ibadah (korban) berbeza sikit tahun ini, nampaknya SOP yang ditetapkan dipatuhi dengan sebaiknya, korban yang dilaksanakan tak boleh lebih dari 10 ekor, jumlah orang pun tak melebihi jumlah yang tertentu dengan mengamalkan ‘social distancing’ dan pemakaian mask. Ini satu norma baharu yang dipatuhi jemaah termasuk ketika bersolat sunat.

“Khususnya di Wilayah Persekutuan saya dapati semua jadi lebih mudah dan masyarakat kita memberi kerjasama pematuhan SOP yang baik.

“Kita haraplah rakyat bersedia untuk terus amalkan SOP untuk tempoh lama tanpa perlu menggunakan penguatkuasaan polis dan lain-lain untuk memaksa dan memastikan tiada perlanggaran SOP,” katanya ketika ditemui pemberita di Masjid Jamek Tengku Abdul Aziz Shah di Kampung Sungai Penchala, Damansara.

Ahli Parlimen BN Ketereh yang berbaju Melayu putih itu menunaikan solat sunat Aidiladha dan ibadah korban melibatkan penyembelihan 10 ekor lembu anjuran jawatankuasa masjid tersebut bersama-sama dengan penduduk setempat.

Annuarr juga melahirkan harapan rakyat terus bekerjasama dengan kerajaan mematuhi setiap SOP dan peraturan mencegah Covid-19 dengan lebih berdisiplin bukan sahaja pada musim perayaan malah pada hari biasa lain untuk mengembalikan kelangsungan hidup dan kesejahteraan rakyat.

Rakyat negara ini juga, katanya, perlu mengambil iktibar perkembangan Covid-19 di sesetengah negara khususnya di negara maju yang menerima impak teruk akibat perlanggaran SOP kesihatan dan perkara asas perlindungan diri.

Katanya, di sesetengah negara, mereka gagal mencegah dan menyelamatkan diri dari Covid-19 kerana tidak amalkan SOP.

“Macam di Amerika Syarikat rakyat yang sepatutnya mematuhi SOP Covid-19 membuat demonstrasi kebebasan tak mahu pakai mask (pelitup muka).

“Perbuatan tidak bertanggungjawab itu akhirnya membawa padah apabia kita telah saksikan kes jangkitan naik dengan kematian ratusan ribu, jangkitan lebih 3 juta.

“Di negara kita dengan sistem pengurusan yang tangkas, kita berjaya mengawal keadaannya tidak menjadi kritikal dan situasi ini harus dipertahankan secara berterusan tanpa cuai dan pengabaian SOP,” tegasnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast